SERDANG, 16 Ogos (Bernama) -- Atlet lempar cakera wanita Sasha Alyssa Philip menghadiahkan pingat emas pertama dalam olahraga buat Selangor pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 selepas mengungguli acara itu di Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.
Atlet berusia 18 tahun itu meraih emas menerusi catatan peribadi terbaik 44.93 meter (m), mengatasi wakil Perlis Farhana Izurein Faizalamizul yang terpaksa berpuas hati dengan perak selepas mencatat 44.29m, hanya 0.64m di belakang Sasha Alyssa.
Atlet Sarawak Pauline Ului pula melengkapkan podium dengan meraih gangsa menerusi catatan 43.24m.
“Sasaran saya adalah untuk memperbaharui catatan peribadi terbaik dan harap dapat terus memperbaiki prestasi dan melakukan catatan lebih baik pada kejohanan akan datang,” kata Sasha Alyssa kepada pemberita selepas pertandingan.
Rekod temasya bagi acara berkenaan kekal 46.66m milik atlet Negeri Sembilan Yap Jeng Tzan yang dicatat pada edisi 2008 di Terengganu.
-- BERNAMA