Am 16/08/2026 08:03 PM

Nasihat Juara Olimpik Bakar Semangat Darwisy Raih Emas

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Nasihat Juara Olimpik Bakar Semangat Darwisy Raih Emas
Aksi atlet Wilayah Persekutuan, Ahmad Darwisy Zharfan Ahmad Tharmidzi dalam acara angkat berat lelaki bawah 60 kilogram sempena Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) hari ini.

KAJANG, 16 Ogos (Bernama) -- Nasihat daripada juara Olimpik Hidilyn Diaz menjadi pemangkin kepada atlet Wilayah Persekutuan Ahmad Darwisy Zharfan Ahmad Tharmidzi untuk meraih pingat emas acara angkat berat kategori bawah 60 kilogram (kg) pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.

Ahmad Darwisy yang pernah mendapat tunjuk ajar Hidilyn ketika jaguh Filipina itu menjalani latihan di Kampung Kesang Tua, Jasin, Melaka berkata nasihat mengenai kekuatan mental, disiplin dan keyakinan diri kekal menjadi pegangannya hingga kini.

Nasihat itu ternyata berguna buat atlet skuad pelapis kebangsaan berkenaan apabila beliau berjaya mengawal tekanan dalam persaingan sengit hari ini sebelum meraih emas dengan kelebihan hanya satu kg. 

“Dia (Hidilyn) suruh jaga mental, disiplin dan jangan terlalu yakin. Keyakinan itu tetap kena ada, tetapi kena buat seperti biasa.

“Kita tak boleh fikir ‘ini boleh lawan, ini boleh lawan’, tapi akhirnya tak boleh,” kata atlet berusia 18 tahun itu ketika ditemui selepas pertandingan hari ini.

Terdahulu, Ahmad Darwisy dinobatkan sebagai pemenang selepas mencatat angkatan 248kg, iaitu 107kg dalam snatch, dan 141kg bagi clean and jerk, menewaskan wakil Perlis Muhammad Azri Irfan Azhar dengan perbezaan hanya satu kg, manakala seorang lagi atlet Kedah Muhammad Haris Hasrul meraih gangsa menerusi angkatan 240kg.

Dalam pada itu, Ahmad Darwisy turut menyifatkan kejayaan tersebut sebagai pengubat duka selepas sekadar membawa pulang pingat gangsa dalam kategori 55kg pada SUKMA Sarawak 2024.

Malah, katanya, kejayaan seniornya Mohamad Aniq Kasdan pada Sukan Komanwel Glasgow baru-baru ini turut menjadi pembakar semangat untuk beliau memburu kilauan emas pada edisi kali ini.

“Saya ingat balik pada SUKMA yang sebelum ini, saya dapat tempat ketiga. Jadi saya berlatih betul-betul untuk mendapatkan pingat emas pada 2026,” katanya.

Ahmad Darwisy yang merupakan atlet pelapis kebangsaan kini menyasarkan untuk merebut slot ke Sukan SEA tahun depan, selain memasang impian lebih besar untuk beraksi pada Sukan Olimpik Brisbane 2032.

Sementara itu, dalam acara wanita bawah 48kg, wakil Perak Qistina Qharisya Muzani mengungguli acara itu dengan angkatan keseluruhan 154kg, iaitu 72kg (snatch) dan 82kg (clean and jerk).

Atlet Terengganu Nur Arrissya Nadia Mohamadnor Wardi di tempat kedua dengan angkatan keseluruhan 144kg manakala wakil Pahang Nur Dania Nasyiha Abdullah meraih gangsa (130kg).

Bagi kategori wanita bawah 53kg pula, Perak terus menuai emas menerusi Qhaerul Izreen Syuhada Abdullah yang mengangkat bebanan 143kg, hasil angkatan 64kg (snatch) dan 79kg (clean and jerk) menewaskan wakil tuan rumah Syaza Ilyana Maizan yang melakukan 138kg manakala gangsa dimenangi Nur Zaffera Safia Zaini (136kg).

-- BERNAMA