TANJONG MALIM, 16 Ogos (Bernama) -- Pembayaran elaun Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) akan dilaksanakan secara berfasa dan berdasarkan keutamaan bermula bulan ini, kata Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.
Beliau berkata pengurusan tertinggi bersetuju fasa pertama bagi tahun ini akan memberikan tumpuan kepada Pegawai Kadet SISPA yang ditauliahkan hari ini dengan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM500,000.
“Inilah satu titik mula yang positif. Usaha memperjuangkan kebajikan Kor SISPA kini bukan lagi sekadar retorik atau angan-angan, tetapi telah diterjemahkan kepada pelaksanaan yang nyata.
“Insya-Allah, kerajaan akan terus mencari ruang fiskal terbaik bagi memperluas inisiatif ini, agar manfaatnya merangkumi seluruh anggota Kor SISPA dari semasa ke semasa,” kata Rubiah yang juga Pesuruhjaya Kehormat Pertahanan Awam.
Rubiah yang mewakili Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Istiadat Pentauliahan Kor SISPA Peringkat Kebangsaan kali ke-17 2026 di Universiti Pendidikan Sultan Idris, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mohammad Abiddin Abd Rahman dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme) Datuk Amzan Abd Malek.
Pada 6 Mei lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata kerajaan menerusi Kementerian Kewangan memberikan kelulusan pembayaran elaun Kor SISPA bagi meningkatkan kebajikan dan motivasi penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang mengikuti latihan pasukan berkenaan.
Sementara itu, pada sidang media, Rubiah berkata peruntukan elaun itu ialah secara sekali beri dengan bayaran akan dilaksanakan mengikut kiraan jam bertugas, iaitu RM9.80 sejam untuk mereka yang berkelulusan ijazah sarjana muda, manakala RM8 sejam bagi diploma.
“(Elaun) ini untuk menggalakkan penyertaan pada peringkat IPT, memberikan pendedahan dan motivasi kepada Kor SISPA terlibat dalam program-program ketenteraman awam. Mereka bertugas tidak semestinya semasa bencana sahaja.
“Angkatan Pertahanan Awam ini berkhidmat sepanjang masa dan berada di mana-mana tidak kira tempat termasuk kenduri, universiti ataupun di luar universiti mereka,” katanya.
Sementara itu, Rubiah berkata majlis hari ini melibatkan sebanyak 1,107 pegawai kadet daripada 36 IPT ditauliahkan dengan pangkat pegawai muda seperti Leftenan Muda, Staf Muda atau pangkat yang setaraf, dan merupakan kumpulan terawal layak menerima manfaat skim elaun anggota Kor SISPA.
“Sejak bermula pada 2010, program ini (Kor SISPA) yang diadakan di universiti atau IPT termasuk Institut Pendidikan Guru melahirkan 11,802 orang secara keseluruhannya.
“Insya-Allah jumlah ini akan terus meningkat kerana latihan masih dilaksanakan di institusi-institusi berkenaan. Pada tahun depan, kita telah pun bersetuju dan menjadualkan untuk pertauliahan diadakan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu,” katanya.
-- BERNAMA