Politik 16/08/2026 04:50 PM

Hentikan Politik Identiti, Fokus Kepada Prestasi Ekonomi - Saifuddin Nasution

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Hentikan Politik Identiti, Fokus Kepada Prestasi Ekonomi - Saifuddin Nasution
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sesi penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

MELAKA, 16 Ogos (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyeru agar politik identiti dan perkauman dihentikan, sebaliknya menuntut tumpuan penuh diberikan kepada politik prestasi serta pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

Naib Presiden PKR yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata politik identiti hanyalah persaingan "zero-sum game" atau mainan campur-tolak yang tidak akan membawa sebarang keuntungan kepada masa depan negara.

"Jangan bertarung dalam gelanggang politik identiti atau perkauman kerana tiada pemenang di situ. Kita ajak rakyat untuk menilai kita berasaskan politik prestasi, iaitu prestasi ekonomi dan kebajikan mereka.

"Politik kita adalah untuk membesarkan 'talam rezeki'. Kita tidak perlu merampas hak sesiapa untuk memastikan anak-anak kita kenyang," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan kepelbagaian kaum di Malaysia adalah satu realiti yang perlu diterima dan bukannya dijadikan instrumen untuk menyemai rasa takut dalam kalangan masyarakat.

"Identiti Melayu, identiti Islam, identiti Cina, identiti India, identiti Sabah, Sarawak semuanya adalah sebahagian realiti Malaysia. Identiti tidak salah. Yang menjadi masalah ialah apabila identiti diguna untuk membina ketakutan," katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menggariskan tiga pendekatan utama yang perlu diberi tumpuan oleh Kerajaan MADANI dan kepimpinan parti iaitu memacu pertumbuhan ekonomi melalui konsep "besarkan talam rezeki" agar faedahnya dinikmati segenap lapisan masyarakat.

Pendekatan kedua ialah menyalurkan bantuan mengikut keperluan sebenar rakyat tanpa mengira warna kulit manakala keutamaan ketiga meneruskan agenda tatakelola baik serta membanteras amalan rasuah yang merugikan khazanah negara.

Beliau turut menekankan ancaman sebenar kepada sesebuah kaum bukanlah kehadiran kaum lain, sebaliknya masalah kemiskinan dan isu sosial seperti penyalahgunaan dadah yang merosakkan generasi muda.

Saifuddin Nasution berkata seluruh anggota parti juga perlu bangkit menyebarkan kisah kejayaan pentadbiran Kerajaan MADANI serta memberikan fokus khusus kepada pengundi muda menjelang pilihan raya akan datang.

-- BERNAMA