MELAKA, 16 Ogos (Bernama) -- Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2026 melabuhkan tirainya dengan membawa mesej jelas bahawa kestabilan politik dan kemakmuran rakyat kekal menjadi keutamaan parti, di samping meneruskan kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di peringkat Persekutuan tanpa mengetepikan agenda reformasi.
Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada kongres itu menegaskan pendiriannya untuk mempertahankan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan bagi menjamin kestabilan politik serta memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata pendirian itu merupakan pilihan beliau, manakala keputusan mengenai hala tuju hubungan berkenaan terserah kepada kepimpinan UMNO dan BN.
Perdana Menteri pada masa sama mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil langkah keterlaluan yang boleh menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan, sambil menegaskan pembentukannya lahir daripada kesedaran politik dan kecintaan terhadap negara yang mengutamakan kestabilan, bukannya perpecahan.
Justeru, mesej utama kongres kali ini bukan sekadar berkisar mengenai kelangsungan politik, malah turut memberi penekanan kepada keupayaan PKR mengekalkan identiti reformasinya sebagai parti kerajaan, sambil memastikan kestabilan pentadbiran dan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai rakyat.
Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dalam ucapan penggulungannya turut menegaskan bahawa perjuangan reformasi tidak boleh terhenti hanya kerana parti itu kini berada dalam kerajaan.
Beliau berkata reformasi perlu diteruskan dalam parti, pentadbiran dan dasar kerajaan supaya perjuangan yang menjadi asas penubuhan PKR dapat diwariskan sebagai legasi kepada generasi akan datang.
Antara contoh yang diketengahkan ialah pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang menurut Nurul Izzah membuktikan sebahagian agenda reformasi PKR dapat direalisasikan selepas parti itu memperoleh mandat untuk mentadbir.
Berhubung perkara itu, Anwar memberi jaminan kerajaan tidak akan menggantikan AUKU dengan undang-undang baharu yang bersifat menekan gerakan mahasiswa, malah beliau akan mengingatkan perkara berkenaan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
Perdana Menteri berkata peruntukan undang-undang sedia ada termasuk undang-undang jenayah sudah memadai untuk menangani sebarang salah laku mahasiswa kerana golongan itu, seperti rakyat lain, tertakluk kepada undang-undang umum negara.
Sementara itu, kongres berkenaan turut memperlihatkan tekad PKR untuk memperkukuh kesiapsiagaan organisasi dan memastikan parti sentiasa bersedia menghadapi sebarang perkembangan politik tanpa perlu menunggu pembubaran Parlimen atau pengumuman calon.
Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek berkata parti perlu sentiasa berada dalam keadaan kukuh tanpa mengira perubahan landskap politik atau kedudukan mana-mana pihak yang kini bersama-sama membentuk kerajaan Persekutuan.
Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan turut menekankan keperluan memperluas ruang kepimpinan wanita dalam parti, termasuk dalam proses membuat keputusan, selain pentingnya keterbukaan kepimpinan parti dan kerajaan untuk menerima teguran serta memperbaiki kelemahan tadbir urus.
Dalam pada itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengangkat agenda pemerkasaan Bumiputera dengan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pemilikan dan kepakaran dalam sektor teknologi strategik termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan bioteknologi.
Sayap itu turut memberi perhatian kepada isu melibatkan Generasi Z dan pekerja muda, antaranya pengiktirafan sektor ekonomi gig dengan perlindungan sosial yang lebih menyeluruh, penyediaan laluan peningkatan kemahiran serta pengukuhan aspek kesihatan mental dan kesejahteraan sosial.
Secara keseluruhan, Kongres Nasional PKR 2026 yang berlangsung selama dua hari memperlihatkan usaha parti itu mengimbangi keperluan mengekalkan kestabilan politik dan memperkukuh Kerajaan Perpaduan dengan komitmen untuk meneruskan agenda reformasi serta pembaharuan dasar yang menjadi teras perjuangannya.
-- BERNAMA