Am 16/08/2026 08:09 PM

Danish Iftikhar Lega Pertahan Emas 100m, Sasar Pecah Rekod SUKMA

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Danish Iftikhar Lega Pertahan Emas 100m, Sasar Pecah Rekod SUKMA
Atlet Johor, Danish Iftkhar Muhammad Roslee ketika beraksi dalam acara 100 Meter Lelaki Akhir pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Pusat Sukan UPM.

SERDANG, 16 Ogos (Bernama) -- Atlet pecut negara Danish Iftikhar Muhammad Roslee lega berjaya menangani tekanan selaku juara bertahan untuk mempertahankan gelaran 100 meter (m) lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di sini, hari ini.

Danish yang mewakili Johor berkata tekanan kali ini jauh lebih besar berbanding penampilan sulungnya pada SUKMA Sarawak dua tahun lepas apabila turun tanpa diletakkan sebagai pilihan (underdog).

“Edisi sebelum ini istimewa sebab apabila tengok senarai peserta, semuanya antara atlet terbaik dalam ranking semasa Malaysia. Pada SUKMA pertama, saya datang sebagai underdog dan saya berjaya lakukannya.

“Kali ini tekanannya lebih banyak, tetapi Alhamdulillah saya berjaya mengawalnya. Saya juga berterima kasih kepada semua finalis kerana mereka semua melakukan yang terbaik,” kata atlet berusia 19 tahun itu selepas final di Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2025 itu berkata beliau juga perlu mengekalkan ketenangan selepas berlaku kesalahan permulaan (false start) sebelum perlumbaan dimulakan semula.

“Selepas false start, saya banyakkan selawat untuk mengawal diri. Saya fikir memang tiada ruang untuk melakukan kesilapan dalam pertandingan ini,” katanya.

Pada aksi final hari ini, Danish meraih emas dengan catatan terbaik musim ini, 10.27 saat (s), sekali gus mempertahankan gelaran yang dimenanginya pada edisi 2024 di Sarawak.

Wakil Kedah Muhammad Umaira Subri meraih perak dengan catatan 10.31s, manakala rakan sepasukannya Muhammad Dzul Danish Jamari membawa pulang gangsa selepas merekodkan 10.37s.

Sementara itu, Danish memasang sasaran untuk mencabar rekod SUKMA 10.18s milik Khairul Hafiz Jantan yang dicatat pada edisi 2016 sebelum menamatkan kelayakannya beraksi pada temasya berkenaan.

“Khairul Hafiz adalah senior saya dan dia mencipta rekod SUKMA pada 2016 di Sarawak. Saya sasarkan rekod itu sebelum umur saya 21 tahun.

“Saya masih ada satu lagi SUKMA. Insya-Allah, kalau diberikan peluang dan kemudahan untuk melakukan yang terbaik sama ada pada SUKMA akan datang atau kejohanan seterusnya, saya akan beri yang terbaik,” katanya.

Danish selepas ini akan mengalihkan tumpuan kepada acara 4x100m esok sebelum beraksi dalam saingan 200m pada Selasa.

-- BERNAMA