Am 16/08/2026 09:08 PM

Putera Arsyad Akhiri Penampilan SUKMA Dengan Emas, Intai Sukan SEA 2027

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Putera Arsyad Akhiri Penampilan SUKMA Dengan Emas, Intai Sukan SEA 2027
Atlet taekwondo Pahang Putera Arsyad Danish Mohd Afrizan mengibarkan bendera negeri itu dengan penuh kegembiraan selepas memenangi pingat Emas dalam kategori Lelaki 68 KG pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Ideal (IDCC), Shah Alam.

SHAH ALAM, 16 Ogos (Bernama) -- Atlet taekwondo Pahang Putera Arsyad Danish Mohd Afrizan menutup penampilan terakhirnya di pentas Sukan Malaysia (SUKMA) dengan cemerlang apabila berjaya mempertahankan pingat emas, sekali gus memburu peluang menyarung jersi negara pada Sukan SEA Malaysia 2027.

Atlet berusia 20 tahun itu membuktikan penguasaannya dalam kategori bawah 68 kilogram (kg) lelaki selepas menewaskan wakil Sarawak Joseph Wong 2-0 pada aksi final di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam di sini, hari ini.

“Sasaran saya ialah Sukan SEA dan meraih pingat. Buat masa ini, saya fokus kepada kejohanan tahun ini dahulu sebelum memberi tumpuan kepada Sukan SEA tahun depan,” kata atlet pelapis kebangsaan itu kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat.

Sementara itu, pingat gangsa kategori berkenaan dikongsi Muhammad Hadif dari Kedah dan wakil Wilayah Persekutuan Ajairaj Singh Shadan.

-- BERNAMA