Politik 15/08/2026 04:27 PM

Agenda Reformasi Tidak Boleh Berhenti Selepas Dapat Kuasa - Mohamad

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Agenda Reformasi Tidak Boleh Berhenti Selepas Dapat Kuasa - Mohamad
Kredit : Laman Facebook Mohamad Sabu

MELAKA, 15 Ogos (Bernama) -- Agenda reformasi tidak boleh berhenti selepas mendapat kuasa, sebaliknya tadbir urus perlu terus diperbaiki termasuk melawan rasuah, kata Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata amanah yang diberikan rakyat perlu dibuktikan menerusi kerja dan tindakan tanpa mengira kedudukan atau siapa yang terlibat.

“Yang ‘sakau’ duit rakyat, kita lawan. Tak kira siapa, tak kira kedudukan. Bagi Bang Mat, reformasi bukan sekadar slogan. Kita sudah diberi amanah. Sekarang masa untuk kita buktikan dengan kerja dan tindakan. Perjuangan masih panjang. Kita terus bekerja untuk rakyat dan negara,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Mohamad berkata beliau turut hadir mendengar amanat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini hari ini yang turut menyentuh kelangsungan agenda reformasi.

Beliau berkata kerajaan turut komited memperjuangkan hak rakyat Sabah dan Sarawak menerusi pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup rakyat serta keupayaan menangani tekanan kos sara hidup.

Mengenai ekonomi, Mohamad berkata angka pertumbuhan penting namun yang lebih utama ialah memastikan rakyat merasai peningkatan taraf hidup serta kerajaan mampu menangani tekanan kos sara hidup.

Beliau turut menyambut baik pengumuman pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang disifatkannya akan memberi ruang dan kebebasan lebih luas kepada mahasiswa.

-- BERNAMA