Am 15/08/2026 07:11 PM

UKM Sedia Salur Kepakaran Dalam Pembentukan One Higher Education Act - Naib Canselor

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
UKM Sedia Salur Kepakaran Dalam Pembentukan One Higher Education Act - Naib Canselor
Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Sufian Jusoh Kredit Foto : UKM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedia menyalurkan kepakaran akademik dan perundangan dalam proses konsultasi bagi pembentukan One Higher Education Act yang bakal menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) (AUKU).

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Sufian Jusoh berkata universiti itu menyambut baik komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk melaksanakan kerangka perundangan baharu yang lebih komprehensif dan berdaya hadapan.

“Kami bersedia menyumbang kepakaran akademik dan perundangan dalam proses konsultasi yang inklusif dan menyeluruh.

“UKM mahu menjadi pemangkin utama dalam perbincangan bersama pelbagai pihak berkepentingan termasuk kepimpinan institusi pengajian tinggi (IPT), ahli akademik, rakan industri serta mahasiswa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penglibatan pelbagai pihak penting bagi memastikan kerangka perundangan yang dibangunkan dapat memenuhi keperluan semasa dan mengambil kira kepelbagaian institusi dalam sistem pendidikan tinggi negara.

Sufian berkata aspek yang diketengahkan menerusi reformasi itu turut selari dengan Pelan Strategik TEKAD 57 UKM 2026–2030, iaitu kompas hala tuju universiti dalam mempersiapkan Malaysia menuju 100 tahun kemerdekaan menjelang 2057.

“Langkah reformasi perundangan ini diselaraskan dengan Pelan Strategik TEKAD 57 UKM terutama sekali dalam usaha memperkukuh autonomi institusi, fleksibiliti tatakelola, pemerkasaan kebebasan akademik yang beretika, serta penyertaan aktif kepimpinan mahasiswa dalam ekosistem universiti.

“UKM bertindak secara proaktif untuk memastikan transisi perundangan ini menjadi pemangkin pembinaan modal insan berasaskan ilmu, nilai, dan inovasi.

“Kerangka baharu ini akan memacu keupayaan universiti dalam menangani cabaran masa hadapan serta melonjakkan pendidikan tinggi Malaysia ke mercu kejayaan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata pengurusan tertinggi dan seluruh warga akademik UKM yakin integrasi pembentukan One Higher Education Act dengan aspirasi TEKAD 57 bakal memantapkan autonomi institusi tanpa membelakangkan akauntabiliti, tadbir urus terbaik dan kecemerlangan penyelidikan berimpak tinggi yang kompetitif di peringkat global.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberi kebebasan serta ruang demokrasi lebih luas kepada gerakan mahasiswa di negara ini dan perkara itu akan dibawa ke Kabinet, Rabu depan.

Susulan pengumuman Perdana Menteri, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kerangka perundangan pendidikan tinggi negara yang lebih komprehensif bagi menggantikan AUKU telah digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.

-- BERNAMA