KOTA KINABALU, 15 Ogos (Bernama) -- Usaha memperluas akses saringan kesihatan percuma di negeri ini diperkukuh menerusi pelancaran Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) Catalyst Sabah 2026, dengan tumpuan diberikan kepada komuniti luar bandar dan lokasi sukar dicapai.
Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd Wan Mohd Hazwan Wan Mohd Najib berkata berdasarkan data terkini Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2026 bagi suku pertama, kira-kira 544,000 penerima di Sabah layak menerima manfaat PeKa B40, namun hanya 165,230 penerima menjalani saringan kesihatan manakala 378,770 lagi masih belum disaring.
“Kadar liputan saringan keseluruhan ketika ini ialah 30.37 peratus, sekali gus menjadi antara pemacu utama pelaksanaan PeKa B40 Catalyst Sabah 2026. Inisiatif berkenaan dilaksanakan ProtectHealth dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), fasiliti kesihatan awam dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakan komuniti tempatan.
“Matlamat kami bukan sekadar meningkatkan jumlah saringan. Lebih penting ialah memastikan penerima yang layak, termasuk mereka yang tinggal jauh dari pusat perkhidmatan atau kurang terdedah kepada maklumat kesihatan, tidak terlepas daripada peluang mendapatkan saringan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata pengesanan awal boleh memberi peluang kepada seseorang untuk mengambil tindakan terhadap risiko kesihatan lebih awal.
“Sebab itu kami mahu membawa PeKa B40 lebih dekat kepada rakyat dengan menggerakkan seluruh ekosistem seperti klinik kerajaan, klinik GP swasta, NGO dan pemimpin komuniti bersama,” katanya.
Wan Mohd Hazwan berkata pendekatan itu penting memandangkan Sabah mempunyai cabaran geografi serta capaian perkhidmatan kesihatan yang berbeza mengikut daerah.
Beliau berkata melalui kerjasama antara penyedia kesihatan dan organisasi yang berada dalam komuniti, penerima PeKa B40 tidak lagi hanya bergantung kepada pendekatan konvensional untuk mendapatkan maklumat dan mengakses perkhidmatan saringan.
“PeKa B40 Catalyst Sabah 2026 merangkumi empat pendekatan utama, iaitu PeKa B40 Community Access Network (CAN Sabah), Program GP Angkat, PeKa B40 30-Day Screening Olympics Sabah 2026 dan PeKa B40 Sabah Pinnacle Award.
“Melalui CAN Sabah, ProtectHealth membentuk jaringan antara fasiliti kesihatan awam dan swasta dengan NGO, pihak berkuasa tempatan, institusi keagamaan, sukarelawan, organisasi komersial dan pemimpin komuniti,” katanya.
Beliau berkata jaringan itu membolehkan maklumat berkaitan saringan serta aktiviti jangkauan disampaikan menerusi pihak yang lebih dekat dan dipercayai masyarakat setempat.
Sementara itu, Wan Mohd Hazwan berkata program GP Angkat memperkukuh kerjasama antara klinik kesihatan dan klinik pengamal perubatan yang menyertai PeKa B40 melalui perkongsian peranan, aktiviti jangkauan bersama serta pertukaran amalan terbaik.
“Bagi memastikan peningkatan saringan dapat dicapai dan diukur, PeKa B40 30-Day Screening Olympics Sabah 2026 pula memperkenalkan pemantauan prestasi secara berkala menerusi papan pemuka masa nyata.
“Prestasi Klinik Kesihatan dan klinik GP akan dipantau berdasarkan jumlah saringan, pencapaian berbanding sasaran serta kemajuan sepanjang tempoh pelaksanaan,” katanya.
-- BERNAMA