KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Jabatan Audit Negara (JAN) melaksanakan mandatnya sebagai institusi audit negara secara bebas, profesional dan berintegriti dalam memperkukuh akauntabiliti, ketelusan serta tadbir urus sektor awam, kata Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Wan Suraya berkata hasil pengauditan diterjemahkan melalui Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) yang menjadi antara instrumen penting dalam mekanisme semak dan imbang negara.
Beliau berkata ketegasan Ketua Audit Negara dalam memberikan pendapat terhadap Penyata Kewangan serta mengemukakan syor audit bukan sekadar bagi memenuhi keperluan pelaporan kepada Parlimen, tetapi lebih penting untuk mendorong tindakan pembetulan dan penambahbaikan yang berkesan dalam pengurusan sektor awam.
“Melalui LKAN, kelemahan dan ketidakpatuhan dapat dikenal pasti, tindakan pembetulan dapat dilaksanakan serta sistem dan tatakelola dapat diperkukuh.
“Matlamat akhirnya adalah untuk memastikan wang awam diurus dan dibelanjakan secara berhemah, telus serta memberikan nilai dan manfaat yang sewajarnya kepada rakyat,” katanya dalam ucapan pada Pertandingan Debat Piala Ketua Audit Negara 2026 (PKAN 2026) yang bertemakan “120 Tahun Jabatan Audit Negara: Memacu Akauntabiliti, Membina Generasi MADANI Berintegriti”.
PKAN 2026 yang julung kali dianjurkan itu menghimpunkan 20 institusi pengajian tinggi awam dari seluruh negara dan berlangsung selama tiga hari bermula 13 Ogos, dengan pusingan akhir diadakan di Bangunan Parlimen hari ini.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul dalam ucapannya berkata pertandingan debat itu menjadi platform kepada generasi muda menghayati kepentingan akauntabiliti, tadbir urus dan pengurusan wang awam selain memahami peranan JAN dalam memastikan amanah rakyat dipelihara.
Beliau berkata pertandingan tersebut bukan hanya gelanggang beradu kemahiran berhujah, tetapi ruang penting untuk membentuk generasi muda yang mampu mengurus perbezaan pandangan secara tertib, rasional dan saling menghormati.
“Demokrasi yang matang bukan hanya bergantung pada kekuatan hujah, tetapi juga pada cara menghormati perbezaan, berdebat dengan bertanggungjawab dan mematuhi aturan,” katanya.
Beliau berkata Malaysia memerlukan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu, malah berfikiran kritis, berani memimpin serta memahami proses pentadbiran dan demokrasi negara.
Universiti Putra Malaysia (UPM) dinobatkan sebagai Johan PKAN 2026 selepas menewaskan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai naib juara dalam pusingan akhir yang membahaskan usul “Dewan Ini Percaya Bahawa Budaya Akauntabiliti Perlu Melengkapi Tindakan Punitif dalam Menangani Kegagalan Tadbir Urus”.
Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkongsi tempat ketiga.
-- BERNAMA