ROMPIN, 15 Ogos (Bernama) -- Polis mengenal pasti identiti tiga sekeluarga yang terkorban dalam kejadian kebakaran rumah di Desa Mawar, Muadzam Shah, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Rompin Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata mangsa pertama dikenali sebagai Mohd Kahurolaizam Mokhtar, 42, yang dijumpai di dalam longkang hadapan rumah dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan Hospital Muadzam Shah.
Beliau berkata isteri mangsa, Siti Zaleha Aluha, 31, dan anak mereka Muhamad Putra Rayqal Mohd Kahurolaizam berusia empat tahun ditemukan pihak bomba dipercayai dalam keadaan rentung di sudut sebuah bilik.
“Bagaimanapun, anak lelaki mangsa berusia 16 dan 10 tahun sempat melarikan diri dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sharif Shai berkata rumah bersebelahan yang didiami seorang lelaki berusia 35 tahun bersama-sama isteri dan empat anaknya turut terjejas, namun kesemua mereka selamat.
Beliau berkata kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya pada 5.05 pagi tadi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nordin Pauzi ketika ditemui di lokasi kejadian berkata kebakaran dipercayai bermula di dalam sebuah bilik, namun siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh pihaknya.
“Ada beberapa pandangan perlu dilihat oleh bomba antaranya faktor dari segi pendawaian elektrik dan sebagainya, jadi bomba akan menjalankan siasatan yang lebih lanjut bagi mengetahui punca kejadian,” katanya.
Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati sebuah motosikal dan kereta turut musnah akibat kebakaran itu dan pasukan bomba sedang melakukan pemantauan serta pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi bara api atau punca yang boleh menyebabkan kebakaran berulang.
Sementara itu, Pemangku Ketua Desa Mawar 2 Khairizal Abdul Hamid berkata beliau terdengar bunyi letupan sebanyak dua kali sebelum bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kurang 100 meter dari rumahnya.
“Apabila saya sampai, api memang sudah marak dan nasib baik tak cepat merebak ke rumah sebelah kerana bomba berjaya kawal … ketika kejadian, mangsa lelaki berkenaan dipercayai cuba menyelamatkan isteri dan anaknya di dalam rumah, namun gagal.
“Mereka baru berpindah ke sini dalam seminggu dan lelaki berkenaan ialah seorang pemotong rumput, manakala isterinya bekerja di sebuah kedai makan,” katanya.
-- BERNAMA