Am 15/08/2026 05:45 PM

Lebih 25,000 Penduduk Terima Manfaat Rakan Niaga SARA Di Pulau Bum-Bum

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lebih 25,000 Penduduk Terima Manfaat Rakan Niaga SARA Di Pulau Bum-Bum
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan beramah mesra dengan penduduk kampung pada Program Turun Padang Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di, Pulau Bum Bum, Semporna. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEMPORNA, 15 Ogos (Bernama) -- Kewujudan rakan niaga Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di Pulau Bum Bum dekat sini, memanfaatkan lebih 25,000 penduduk pulau itu yang layak menerima bantuan SARA.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata Koperasi Anugerah Hj Badli yang dilawati pada hari ini, merupakan Rakan Niaga SARA yang ke-33 untuk daerah Semporna dan merupakan satu-satunya di Pulau Bum Bum.

“Sebelum ini, penduduk Pulau Bum Bum yang ingin mendapatkan barangan melalui SARA perlu menaiki bot ke tanah besar Semporna dan kembali semula ke pulau, dengan membawa barangan keperluan mereka.

“Kita mendengar kesukaran yang dihadapi masyarakat di sini, sebab itu kemudahan SARA dibawa lebih dekat kepada mereka melalui Rakan Niaga di Pulau Bum Bum sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita, selepas peninjauan pelaksanaan SARA di pulau itu dekat sini hari ini.

Amir Hamzah berkata kerajaan akan terus mengenal pasti kawasan yang berdepan kekangan akses, supaya manfaat Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dapat dibawa lebih dekat kepada rakyat.

“Kita tidak mahu faktor jarak, laut atau lokasi menjadi penghalang kepada rakyat untuk menikmati bantuan kerajaan sediakan. Hal inilah pendekatan kerajaan yang bukan sekadar menyediakan bantuan, tetapi memastikan bantuan itu benar-benar sampai, boleh digunakan dan memberi manfaat kepada kehidupan rakyat,” katanya lagi.

Amir Hamzah berkata kerajaan berusaha melihat peluasan pelaksanaan SARA di kawasan pulau berpenduduk di Sabah.

“Jadi kalau kita melihat dengan kerjasama Mykasih Foundation ni, siapa yang ada nak mendaftar menjadi rakan niaga SARA, mereka boleh mengutarakan permintaan untuk masuk dalam sistem SARA.

“Namun kita kena juga perlu memastikan mereka  layak dan mengikut pendekatan yang kita ada dalam SARA, termasuk penyediaan barcode,” katanya lagi.

Mengenai lawatan ke Pulau Bum Bum itu Amir Hamzah berkata lawatan itu merupakan lawatan biasa bagi memantau dan melihat perkembangan SARA, yang ada di seluruh negara.

“Penting saya datang ke tempat-tempat yang biasanya tidak dilawat sangat, tapi untuk rakyat kita hendak memastikan yang penggunaan SARA ini meluas termasuk di Sabah,” katanya.

-- BERNAMA