Am 15/08/2026 01:46 PM

Pertumbuhan Ekonomi Mesti Dinikmati Rakyat - Fahmi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pertumbuhan Ekonomi Mesti Dinikmati Rakyat - Fahmi
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Fahmi Fadzil membentang laporan tahunan kewangan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh hari ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

MELAKA, 15  Ogos (Bernama) -- Pertumbuhan ekonomi negara mesti diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan berkualiti dan pengurangan beban kos sara hidup supaya manfaatnya benar-benar dirasai rakyat, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata walaupun Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi enam peratus pada suku kedua 2026 serta pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah, iaitu RM426.7 bilion pada 2025, fokus fasa seterusnya Ekonomi MADANI ialah memastikan kemakmuran berkenaan dirasai sehingga peringkat akar umbi.

"Atas sebab itu, kejayaan ekonomi Malaysia tidak boleh berhenti pada ukuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). KDNK mesti menjadi pekerjaan, pelaburan mesti jadi pendapatan, produktiviti mesti jadi gaji dan penjimatan kerajaan mesti jadi manfaat kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Usul Ekonomi dan Kestabilan Politik bertemakan "Kestabilan Membina Keyakinan, Ekonomi Membina Kesejahteraan: Pastikan Kemajuan Negara Dirasai Rakyat" bersempena dengan Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini hari ini.

Fahmi berkata usul berkenaan dirangka berasaskan aspirasi 741 usul yang dikemukakan oleh 176 Cabang PKR dari seluruh negara. 

Mengulas prestasi ekonomi negara, pertumbuhan enam peratus pada suku kedua 2026 meningkat daripada 5.4 peratus pada suku pertama, manakala pelaburan diluluskan sebanyak RM92.8 bilion pada tiga bulan pertama tahun ini melibatkan 1,249 projek yang dijangka mewujudkan lebih 50,000 pekerjaan baharu.

Beliau berkata kadar pengangguran kekal pada 3.0 peratus, manakala inflasi berada pada 1.9 peratus setakat Jun 2026.

Fahmi berkata defisit fiskal Kerajaan Persekutuan turut menunjukkan kemajuan apabila berjaya dikurangkan daripada 4.1 peratus pada 2024 kepada 3.7 peratus pada 2025.

Beliau berkata kestabilan politik yang dinikmati hari ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk melaksanakan reformasi berani demi kepentingan rakyat.

"Kita mahu kestabilan yang menghasilkan perubahan. Kita mahu pertumbuhan yang menghasilkan kesejahteraan. Kita mahu reformasi yang dapat dirasai rakyat," katanya.

Usul berkenaan menggariskan 12 ketetapan utama termasuk penyesuaian gaji mengikut kos sara hidup dan produktiviti melalui Dasar Gaji Progresif serta penyasaran subsidi yang lebih adil seperti BUDI95 dan SARA.

Selain itu, usul berkenaan turut memberikan penekanan kepada pemerkasaan ekonomi wanita dan anak muda, pembangunan luar bandar berasaskan penjanaan pendapatan, pembasmian rasuah tanpa kompromi serta pemulihan institusi strategik rakyat seperti Tabung Haji, FELDA dan FELCRA.

-- BERNAMA