IPOH, 15 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 70 peratus daripada kutipan wang derma masjid dicadang dimanfaatkan bagi membantu masyarakat yang memerlukan selain digunakan untuk mengimarahkan masjid melalui pelbagai program kemasyarakatan dan pendidikan.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata cadangan itu bertujuan memastikan dana yang dikumpulkan dapat memberikan manfaat secara langsung kepada kariah masjid, khususnya golongan kurang berkemampuan, dan tidak sekadar disimpan sebagai wang rizab di institusi perbankan.
Beliau berkata cadangan itu nanti akan dipersembahkan kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Shah untuk diperkenankan.
"Kalau sebaik-baiknya, kita cuba galakkan formula kutipan tahun semasa itu 70 peratus bagi faedah masjid, barulah masjid ada imarah dan dapat menjalankan program.
"Sebagai contoh, pengurusan masjid juga dapat membantu orang susah mendapatkan makanan dan sebagainya atau menyediakan kelas tambahan untuk anak-anak kariah yang ibu bapa mereka tidak mampu menghantar anak mereka ke pusat tuisyen," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menutup Konvensyen Jawatankuasa Kariah Masjid Negeri Perak Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk Syamsul Hazeman Md Salleh.
Mengulas lanjut, Mohd Annuar berkata terdapat masjid yang mempunyai simpanan sehingga ratusan ribu ringgit, namun masih memohon bantuan kerajaan apabila berdepan keperluan membaiki kerosakan atau melaksanakan sesuatu program kemasyarakatan.
"Kalau duit dalam bank, mungkin dapat pulangan pelaburan tiga atau empat peratus, tetapi pelaburan untuk pembangunan sumber manusia, pada saya, lebih tinggi nilainya," katanya.
Beliau berkata kecekapan pengurusan kewangan masjid perlu dilihat berdasarkan sejauh mana dana yang dimiliki dapat dimanfaatkan untuk membaiki kemudahan masjid serta menambah program yang dapat mengimarahkan institusi berkenaan.
"Saya tidak menjangkakan kita akan mendapat 100 peratus respons daripada masjid dan kita faham kalau tabung sesebuah masjid kecil, mungkin hanya RM2,000 atau RM3,000.
"Kita tidak mahu mengenakan sesuatu secara terus, tetapi kalau sesebuah masjid mempunyai simpanan berpuluh-puluh ribu hingga RM100,000 atau RM300,000, kita perlu fikir manfaat yang boleh diberikan kepada masyarakat," katanya.
Mohd Annuar berkata pendekatan itu akan dilaksanakan secara selektif dengan mengambil kira kedudukan kewangan dan keperluan setiap masjid.
-- BERNAMA