Politik 15/08/2026 01:16 PM

Kongres PKR Wajar Jadi Platform Rapatkan Saf, Menangi Kepercayaan Rakyat

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kongres PKR Wajar Jadi Platform Rapatkan Saf, Menangi Kepercayaan Rakyat
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) hadir pada majlis perasmian Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh hari ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

MELAKA 15 Ogos (Bernama) -- Kongres Nasional PKR 2026 wajar menjadi pentas untuk merapatkan saf, memperkukuh parti dan memenangi semula kepercayaan rakyat, kata Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau yang juga Ex-Officio Biro Politik PKR berkata untuk itu, semua anggota diseru untuk menilai kelemahan, memantapkan organisasi dan memastikan seluruh jentera parti bergerak lebih efektif bermula daripada akar umbi hinggalah ke pimpinan pusat.

“Keputusan pilihan raya negeri baru-baru ini menuntut kita bermuhasabah secara jujur. Kita mungkin kecewa dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi kita tidak boleh mengawal parti lain. Yang boleh kita perbaiki ialah parti kita sendiri. Jadi, marilah kita tumpukan sepenuh kudrat kita untuk memperkukuh parti.

“Jika rakyat belum melihat hasil yang telah kita usahakan, tanggungjawab itu juga terletak pada kita untuk berkomunikasi dengan lebih jelas dan berkesan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pada masa sama, beliau berkata semua anggota parti mesti mendengar keluh kesah rakyat dengan hati terbuka, serta tidak terlalu sibuk menjawab sehingga terlupa untuk memahami permasalahan sebenar.

“Dengar, akui apa yang belum selesai, kemudian tunaikan,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul ketika ditemui pemberita pada kongres berkenaan berkata komunikasi berkesan dan penerangan dasar kerajaan termasuk aspek ekonomi kepada rakyat perlu diperkukuh, memandangkan terdapat maklum balas yang diterima mendapati rakyat tidak diberikan maklumat yang jelas dan mencukupi.

“Kita dapat lihat dalam pilihan raya negeri sebelum ini di Negeri Sembilan dan juga di Johor, ramai yang menyuarakan yang mereka tidak dengar, tidak mendapat setengah bantuan yang telah diumumkan. Jadi itulah, saya rasa dari segi komunikasi kita ada ruang untuk penambahbaikan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata terdapat juga kerisauan rakyat mengenai aspek makro ekonomi, yang masih tidak dapat dirasai mereka.

“Kita dapat lihat bahawa kalau dari segi pertumbuhan ekonomi, dari segi inflasi, dari segi kadar pengangguran, dari segi kekukuhan mata wang ringgit, semuanya menunjukkan Malaysia berada pada tahap yang baik berbanding dengan negara-negara lain. 

“Tapi pada masa sama, rakyat juga telah menyuarakan kerisauan mereka mengenai angka ekonomi yang makro ini tidak dapat dirasai oleh semua dan saya pun dah membuat beberapa cadangan (kepada kepimpinan parti) untuk kita melihat bagaimana ekonomi kita ini dapat dirasai oleh semua,” katanya.

-- BERNAMA