Am 15/08/2026 10:13 AM

Pengsan Di Sekolah Dorong Guru Cakna Pemeriksaan Kesihatan Berkala

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pengsan Di Sekolah Dorong Guru Cakna Pemeriksaan Kesihatan Berkala

Oleh Atira Khalisha Nor Adnan

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Menganggap rasa tidak sedap badan yang dialaminya berpunca daripada stres atau keletihan, beliau meneruskan rutin harian tanpa ambil peduli. 

Tambahan pula beliau begitu sibuk dengan tugasnya sebagai seorang guru yang bukan setakat mendidik dan memenuhi keperluan pelajarnya, tetapi pada masa sama juga perlu mengendalikan pelbagai urusan pentadbiran.

Sehinggalah beliau tiba-tiba pengsan di pejabatnya. Insiden yang berlaku itu menyedarkan Pengetua Chong Hwa High School Dr Sua Sin Zang, 63, bahawa beliau tidak boleh lagi menangguhkan pemeriksaan kesihatannya.

“Sebelum itu saya memang tahu saya ada hipertensen dan saya kena kawal perasaan seperti tidak boleh marah-marah. Cuma, selepas saya pengsan di sekolah barulah saya sedar yang saya perlu ambil serius isu kesihatan saya,” imbasnya ketika ditemui Bernama selepas pelancaran Program Tajaan Saringan Kesihatan Guru, di sini baru-baru ini.

Kejadian itu berlaku beberapa tahun lalu, namun sejak insiden tersebut, Sua yang menghabiskan lebih 25 tahun daripada usianya dalam bidang pendidikan, mengambil pendekatan lebih proaktif dalam penjagaan kesihatannya, termasuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Maju Johor

Daripada situ, beliau didiagnosis mempunyai tahap kolesterol tinggi dan hati berlemak yang memerlukannya mengubah tabiat pemakanan.

“Jika kita selalu menjalani pemeriksaan kesihatan, kita dapat tahu apa yang berlaku dalam tubuh kita dan seterusnya membolehkan kita mendapatkan rawatan lebih awal,” ujarnya, menambah sejak itu juga beliau belajar menguruskan stres.

“Masa muda saya cepat marah, tetapi bila usia sudah meningkat saya belajar untuk  kekal tenang dan mengawal emosi semasa berdepan masalah.”

Pengalaman Sua mencerminkan kebimbangan yang lebih meluas dalam kalangan pendidik yang sering mencurahkan masa dan tenaga untuk pelajar, sehingga kesihatan serta kesejahteraan diri sendiri terpaksa diketepikan.

Keperluan guru memberikan lebih perhatian terhadap kesihatan mereka turut menjadi fokus Program Tajaan Saringan Kesihatan Guru yang dimulakan secara kerjasama antara MJ Health Screening Centre, Yayasan Lee Chong Wei dan OlyLife.

Maju Johor

Pengerusi Eksekutif Kumpulan MJHM Datuk Mike Tee Swee Guan, berkata inisiatif itu bertujuan menggalakkan guru mengutamakan kesihatan diri sambil terus memainkan peranan penting dalam mendidik dan membimbing generasi muda.

“Guru merupakan antara penjaga terpenting asas sesebuah negara. Mereka amat mengambil berat tentang pembelajaran, perkembangan dan masa depan pelajar, namun dalam kesibukan melaksanakan tanggungjawab yang berat, mereka sering terlepas pandang kesihatan dan kesejahteraan diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata saringan kesihatan secara berkala dan menyeluruh dapat membantu pengesanan serta intervensi awal, selain memperkukuh mesej bahawa menjaga kesihatan guru juga merupakan satu pelaburan untuk masa depan pendidikan.

Menerusi inisiatif itu, seramai 1,000 guru di seluruh negara akan menerima pakej saringan kesihatan tajaan yang merangkumi 135 item pemeriksaan, bernilai RM3,380 bagi setiap pakej.

Guru yang menyertai program berkenaan hanya perlu membayar yuran pendaftaran RM98 bagi mendapatkan slot saringan dan boleh mendaftar menerusi laman sesawang www.mjhealthscreening.com.

-- BERNAMA