Politik 15/08/2026 01:29 PM

Pemansuhan AUKU Pintu Reformasi Pendidikan Tinggi Lebih Menyeluruh - AMK

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pemansuhan AUKU Pintu Reformasi Pendidikan Tinggi Lebih Menyeluruh - AMK
Muhammad Kamil Abdul Munim

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan langkah Kerajaan MADANI memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) sebagai pintu kepada reformasi pendidikan tinggi yang lebih menyeluruh.

Ketua AMK Muhammad Kamil Abdul Munim berkata pemansuhan akta itu akan memperkukuh autonomi universiti, kebebasan akademik, hak berpersatuan dan kebebasan bersuara, selain memberikan ruang kepada mahasiswa menentukan hala tuju gerakan mereka sendiri.

Beliau berkata pemansuhan AUKU merupakan kemenangan penting dalam perjalanan panjang gerakan mahasiswa Malaysia sejak puluhan tahun memperjuangkan kampus yang lebih bebas, demokratik serta menghormati mahasiswa sebagai golongan dewasa yang mempunyai hak untuk berfikir, bersuara dan berorganisasi.

“Kebebasan universiti bukan bermaksud kebebasan tanpa tanggungjawab, sebaliknya universiti yang benar-benar matang ialah universiti yang mampu mengurus perbezaan pandangan melalui ilmu, hujah dan dialog.

“Kampus tidak seharusnya melahirkan generasi yang sekadar menurut, tetapi generasi yang berani bertanya, mencabar kebiasaan dan mempertahankan kebenaran dengan penuh tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Kamil menggesa mahasiswa dan anak muda Malaysia melihat perkembangan itu sebagai bukti bahawa reformasi memerlukan keberanian politik, kesabaran dan sokongan untuk diterjemahkan kepada perubahan sebenar.

Beliau berkata Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu terus diberi ruang dan dukungan untuk meneruskan agenda reformasi institusi yang telah lama diperjuangkan.

“Reformasi tidak selesai dengan satu pengumuman dan tidak terhenti dengan satu akta. Masih banyak pembaharuan yang perlu digerakkan dan mahasiswa mesti menjadi antara tenaga terpenting yang mengawal, mendesak serta bersama-sama menjayakannya,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengumumkan kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberikan ruang demokrasi dan kebebasan yang lebih luas kepada gerakan mahasiswa, selepas mengambil kira memorandum serta pandangan dikemukakan kepimpinan mahasiswa yang mahukan perubahan menyeluruh terhadap akta itu.

-- BERNAMA