WASHINGTON, 15 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat mengesahkan kapal induk pesawat udara USS Abraham Lincoln yang ditempatkan di Asia Barat akan diganti, berikutan kebimbangan mengenai tempoh kerah tugas yang panjang dihadapi anggota tentera laut AS, lapor Anadolu Ajansi.
“Kapal itu sedang bergerak sekarang, atau tidak lama lagi, dan ia akan digantikan dengan sebuah lagi kapal yang hampir serupa,” kata Trump kepada pemberita ketika ditanya mengenai kebimbangan yang dibangkitkan keluarga anggota tentera yang bertugas di atas kapal Lincoln.
Ketika ditanya sama ada tempoh kerah tugas itu sudah terlalu lama, Trump menjawab: “Tidak. Belum cukup lama.”
AS merancang menghantar kapal induk pesawat udara USS George Washington bagi menggantikan Lincoln sebagai sebahagian daripada penggiliran yang telah dijadualkan sebelum ini, lapor The Wall Street Journal pada Khamis.
Lincoln telah dikerahkan selama lebih 250 hari tanpa singgah di mana-mana pelabuhan sepanjang 200 hari lepas, menurut akhbar itu.
Kapal induk pesawat udara itu memulakan kerah tugasnya pada November dan dilencongkan ke Asia Barat pada Januari lepas menjelang perang AS dengan Iran.
Langkah terbaharu itu dibuat selepas Senator Richard Blumenthal membangkitkan kebimbangan dalam surat kepada Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth dan Pemangku Setiausaha Tentera Laut Hung Cao, dengan memetik laporan mengenai kekurangan bekalan asas, pencemaran air, masalah sistem paip, kemerosotan kesihatan mental, kebimbangan mengenai keselamatan dek serta gangguan perkhidmatan pos yang menyebabkan penghantaran bungkusan kepada anggota tentera tertangguh selama beberapa bulan.
Pemangku Setiausaha Tentera Laut Hung Cao turut mengumumkan pada Jumaat bahawa USS Abraham Lincoln akan kembali ke AS.
-- BERNAMA-ANADOLU