Am 15/08/2026 10:04 AM

TNB Tanam 1,500 Anak Bakau, Perkasa Kelestarian Ekosistem Sungai Acheh

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
TNB Tanam 1,500 Anak Bakau, Perkasa Kelestarian Ekosistem Sungai Acheh
Program My Brighter Green Initiative (MBGI) di Jeti Nelayan Chenaam, Sungai Acheh, Pulau Pinang menjadi lokasi kelima dengan penanaman 1,500 anak pokok bakau, menjadikan jumlah keseluruhan penanaman mencecah 39,000 pokok, menghampiri sasaran 40,000 pokok tahun ini.

NIBONG TEBAL, 15 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 1,500 anak pokok bakau ditanam di Jeti Nelayan Chenaam, Sungai Acheh, di sini, sebagai usaha memulihkan ekosistem pesisir selain membantu melindungi sumber perikanan yang menjadi antara punca rezeki komuniti nelayan setempat.

Penanaman itu dilaksanakan menerusi My Brighter Green Initiative (MBGI) 2026 oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pokok yang ditanam setakat ini sebanyak 39,000 pokok.

Ketua Pegawai Retail TNB Datuk Kamal Arifin A. Rahman berkata penanaman bakau mempunyai kepentingan besar kepada kawasan pesisir kerana pokok berkenaan berperanan sebagai habitat pembiakan hidupan marin selain membantu mengurangkan hakisan pantai.

“Sebagai peneraju utiliti tenaga negara, TNB percaya pembangunan ekonomi dan keselamatan bekalan elektrik mesti berjalan seiring dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar.

“Atas prinsip itu, TNB terus memperkukuh agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) melalui pelbagai inisiatif yang menyokong aspirasi Net Zero 2050,” katanya ketika berucap pada Program MBGI 2026 di Jeti Nelayan Chenaam, Sungai Acheh, semalam yang merupakan lokasi kelima program berkenaan.

Kamal Arifin berkata TNB menyasarkan penanaman 40,000 pokok di enam lokasi di seluruh negara menerusi MBGI 2026, yang dianggarkan mampu menyerap kira-kira 680 tan karbon dioksida setara (tCO₂e) setahun, bersamaan dengan pelepasan karbon daripada 159 kenderaan penumpang berkuasa petrol yang digunakan selama setahun.

Usaha penghijauan itu, katanya, meneruskan inisiatif TNB sejak 2017 yang telah menanam hampir 200,000 pokok di seluruh negara, dengan anggaran penyerapan kira-kira 3,140 tCO₂e setahun.

Beliau berkata pemilihan Jeti Nelayan Chenaam sebagai antara lokasi program itu amat signifikan berikutan kedudukannya di kawasan muara dan pesisir yang kaya dengan ekosistem hutan paya bakau yang juga merupakan hutan simpan serta mempunyai kaitan rapat dengan kehidupan komuniti nelayan.

“Hutan bakau ini berperanan sebagai habitat pembiakan ikan, udang dan ketam, selain menjadi benteng semula jadi bagi mengurangkan hakisan pantai serta meningkatkan daya tahan kawasan pesisir terhadap perubahan iklim,” katanya.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan Pulau Pinang Datuk Rashidi Zinol, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Acheh.

Rashidi berkata pemilihan Jeti Nelayan Chenaam sebagai lokasi MBGI 2026 memberikan nilai tambah kepada komuniti pesisir kerana pemuliharaan hutan bakau berkait rapat dengan kelangsungan sumber perikanan dan kesejahteraan nelayan setempat.

Beliau berkata usaha itu bukan sekadar menanam pokok, sebaliknya turut membabitkan pemeliharaan ekosistem pesisir, perlindungan biodiversiti serta usaha memastikan sumber rezeki komuniti nelayan dapat dikekalkan untuk generasi akan datang.

“Terima kasih kepada pihak TNB kerana memilih Sungai Acheh dan Sungai Chenaam sebagai tempat untuk projek MBGI tahun ini dengan projek penanaman bakau. Kawasan ini masih kekal sebagai khazanah dan sudah pasti memberikan kelebihan kepada penduduk, terutama nelayan di kawasan sekitar sini,” katanya.

Pada majlis itu, TNB turut menyampaikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM67,500 kepada TVET MARA Seberang Perai Utara, Kolej Vokasional Nibong Tebal, Sekolah Kebangsaan Sungai Setar, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Widuri, SMK Methodist Nibong Tebal dan Persatuan Nelayan serta bantuan 60 bakul makanan kepada komuniti Sungai Acheh.

Kamal Arifin berkata dari 2025 hingga Jun 2026, TNB telah menyalurkan RM2.8 juta menerusi pelbagai inisiatif CSR dan wakalah untuk manfaat masyarakat di Pulau Pinang, manakala RM31.6 juta diperuntukkan pada peringkat nasional bagi enam bulan pertama tahun ini, untuk pelbagai program CSR yang memberikan manfaat kepada rakyat di seluruh negara.

Sementara itu, penerima bantuan bakul makanan tersebut Siti Meriam Abdul Hamid, 71, berkata sumbangan berkenaan amat bermakna kerana sekurang-kurangnya membantu meringankan perbelanjaan keluarganya yang mempunyai dua anak lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 42 dan 44 tahun.

“Mak cik dan penduduk yang menerima bantuan bakul makanan hari ini amat menghargai keprihatinan TNB yang sentiasa memberikan perhatian kepada keperluan masyarakat setempat dan kami berharap bantuan ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya.

-- BERNAMA