Am 15/08/2026 09:05 AM

Pendedahan RCI Tabung Haji Tuntut Reformasi Sistemik, Perkasa Mekanisme Semak Dan Imbang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pendedahan RCI Tabung Haji Tuntut Reformasi Sistemik, Perkasa Mekanisme Semak Dan Imbang

Oleh Alya Natasha Azhar

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) menuntut pembetulan sistemik dan disiplin proses dalaman yang berterusan.

Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Datuk Dr Norman Mohd Saleh berkata mekanisme semak dan imbang dalam institusi pengurusan dana haji itu wajib diperkasa untuk mencabar serta memperhalusi setiap keputusan berisiko tinggi sebelum ia menjejaskan kepentingan pendeposit.

Beliau berkata amaran risiko daripada Jawatankuasa Audit dan Jawatankuasa Pengurusan Risiko (RMC) mestilah diintegrasikan secara mandatori dalam pembuatan keputusan Lembaga Pengarah bagi menjamin keselamatan dana umat Islam.

"Dalam Prosedur Operasi Standard sedia ada, amaran risiko kerap sekadar berfungsi sebagai nasihat yang boleh diabaikan... sistem perlu memberikan kuasa yang lebih besar kepada RMC untuk mempengaruhi keputusan strategik dan pelaburan sekali gus mengelakkan amalan memintas kawalan oleh pengurusan.

“Selain itu, TH wajar didedahkan kepada rangka kerja penyeliaan agensi luar secara khusus iaitu Bank Negara Malaysia bagi penilaian risiko kecairan dan kecukupan modal bagi pengurusan dana pelaburan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mengulas aspek pelantikan, Norman berkata proses pemilihan menerusi Jawatankuasa Penamaan mestilah berasaskan garis panduan merit yang telus dan berintegriti bebas daripada pengaruh eksekutif mahupun dorongan politik.

Beliau berkata langkah itu penting memandangkan TH bukan sebuah syarikat awam tersenarai yang mempunyai Mesyuarat Agung Tahunan sebagai mekanisme akauntabiliti untuk “melapor dan menjawab” kepada pemegang taruh.

Norman juga berpandangan bahawa mekanisme kawal selia sedia ada perlu beralih daripada bersifat reaktif kepada bentuk pencegahan awal yang lebih proaktif bagi mengesan kelemahan sebelum ia menuntut tindakan pembetulan berskala besar.

"Memandangkan pengawasan harian melibatkan agensi dan kementerian berkaitan, keberkesanan penilaian sudah tentu menuntut gabungan kepakaran teknikal yang khusus dalam mengendalikan risiko kewangan serta pelaburan bernilai tinggi.

"Justeru, pihak pengurusan dan Ahli Lembaga Pengarah mestilah memikul tanggungjawab bersama secara lebih ketat ke atas setiap keputusan yang dibuat," katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kewangan dan Pengurusan Risiko Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM Profesor Madya Dr Mohd Hafizuddin Syah Bangaan Abdullah berkata pengurusan risiko perlu dilaksanakan secara proaktif sebelum sesuatu keputusan pelaburan atau transaksi besar dimuktamadkan.

Hafizuddin berkata institusi perlu menetapkan batas toleransi pelaburan yang jelas, mengemukakan pandangan risiko bebas, menjalankan ujian tekanan dan menyediakan strategi keluar berdokumen sebelum meluluskan sesuatu pelaburan.

“Bagi keputusan berimpak tinggi, satu mekanisme eskalasi amaran perlu diwujudkan... sekiranya had risiko dilanggar, penilaian bebas menunjukkan jurang material atau wujud konflik kepentingan, keputusan tersebut hendaklah dinaikkan secara automatik kepada Lembaga Pengarah dan tidak boleh diluluskan melalui laluan biasa,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan memisahkan Jawatankuasa Risiko daripada Jawatankuasa Audit bagi institusi bertahap kompleks seperti TH memandangkan fungsi risiko berfokus kepada unjuran manakala fungsi audit lebih tertumpu kepada pematuhan.

Bagi mengelakkan konflik kepentingan, Hafizuddin menyokong syor RCI agar ahli politik aktif tidak dilantik sebagai pengerusi atau anggota lembaga TH dan anak syarikatnya, selain memperketat kriteria pelantikan mengikut matriks kemahiran yang jelas.

Beliau juga berkata Lembaga Pengarah perlu memantau tiga indikator utama secara berkala iaitu kedudukan kewangan beraudit, kualiti pelaporan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia dan pendedahan Transaksi Pihak Berkaitan.

“Ganjaran pengurusan juga patut dikaitkan dengan prestasi jangka panjang yang diselaraskan dengan risiko termasuk mewujudkan mekanisme penarikan balik insentif sekiranya insentif diberi berdasarkan maklumat yang tidak tepat atau tidak mampan,” katanya.

Laporan RCI mengenai TH yang didedahkan kepada umum pada 29 Julai lepas merekodkan pelbagai kelemahan berkaitan pengurusan dan tadbir urus institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020 serta mengemukakan 25 syor penambahbaikan.

Selasa lepas, satu sidang khas Dewan Rakyat diadakan bagi membolehkan laporan berkenaan dibentang dan dibahaskan oleh Ahli Dewan Rakyat. 

-- BERNAMA