Am 15/08/2026 10:28 AM

Ringgit Diunjur 4.07-4.08, Cenderung Meningkat Minggu Depan Dipacu Data Kukuh KDNK

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Ringgit Diunjur 4.07-4.08, Cenderung Meningkat Minggu Depan Dipacu Data Kukuh KDNK

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Nilai ringgit dijangka dalam julat 4.07 hingga 4.08 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), malah cenderung meningkat pada minggu depan didorong sentimen susulan pengumuman angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2026 pada Jumaat.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata KDNK  Malaysia yang tumbuh pada 6.0 peratus bagi tempoh itu selain kitaran peningkatan sektor teknologi serta harga komoditi, juga menunjukkan sektor luaran Malaysia akan menjadi pemacu utama pertumbuhan secara menyeluruh.

“(Prestasi) KDNK Malaysia yang tumbuh lebih tinggi pada 6.0 peratus berbanding jangkaan awal 5.8 peratus juga menunjukkan bahawa ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global yang terus ketara.

“Perkembangan sedemikian sepatutnya menyuntik sokongan kepada ringgit pada minggu depan dengan tempoh separuh kedua 2026 dijangka agak stabil dan berdaya tahan. Ini susulan dasar atau sokongan daripada pihak berkuasa monetari serta dasar fiskal,” katanya kepada Bernama.

Pada Jumaat, Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan pertumbuhan itu didorong oleh permintaan domestik yang berterusan dan prestasi eksport yang kukuh.

Perbelanjaan isi rumah disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang stabil dan sokongan dasar yang berterusan manakala pertumbuhan pelaburan pula disokong oleh perbelanjaan yang berterusan bagi struktur serta jentera dan kelengkapan, menurut bank pusat itu dalam satu kenyataan.

Prestasi bagi suku kedua 2026 itu turut mengatasi pertumbuhan 5.4 peratus pada suku pertama 2026.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, ringgit mengukuh berbanding dolar AS kepada 4.0840/0885 daripada 4.0885/0930 pada minggu sebelumnya.

Ringgit juga meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5660/5690 daripada 2.5813/5843 namun susut berbanding pound Britain kepada 5.5232/5293 daripada 5.4949/5010 dan rendah berbanding euro kepada 4.7182/7234 daripada 4.7132/7184.

Selain itu, ringgit juga diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Unit tempatan itu naik berbanding peso Filipina kepada 6.64/6.66 daripada 6.71/6.72 minggu lepas dan meningkat berbanding baht Thailand pada 12.3153/3333 daripada 12.3665/3843.

Ringgit bagaimanapun susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1924/1964 daripada 3.1911/1949 dan rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 229.0/229.4 daripada 228.4/228.7 pada minggu lepas.

-- BERNAMA