Dunia 15/08/2026 03:49 PM

Industri Pakaian Kemboja Perlu Ai, Robotik Untuk Kekal Berdaya Saing

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Industri Pakaian Kemboja Perlu Ai, Robotik Untuk Kekal Berdaya Saing

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 15 Ogos (Bernama) -- Industri pakaian Kemboja memerlukan pembaharuan berteknologi tinggi untuk berganjak daripada pengeluaran berintensifkan buruh serta memperkukuh daya saingnya dalam pasaran fesyen global yang dipacu teknologi.

Pembaharuan itu mungkin memainkan peranan penting bagi industri yang menggaji kira-kira 700,000 pekerja, kebanyakannya wanita, dan kekal sebagai antara sumber pekerjaan dan eksport terbesar negara itu.

Industri berkenaan kini berdepan tekanan yang semakin meningkat untuk menghasilkan produk dengan lebih pantas dan mampan, apabila jenama global menuntut kualiti lebih tinggi, tempoh pengeluaran lebih singkat, ketelusan rantaian bekalan yang lebih baik serta piawaian pembuatan mesra alam.

“Kita mesti menerima guna teknologi baharu untuk meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos, menambah baik kualiti produk dan memperkukuh daya saing perusahaan kita,” kata Menteri Industri, Sains, Teknologi dan Inovasi Hem Vanndy pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pameran Industri Tekstil dan Pakaian Antarabangsa Kemboja di Diamond Island Convention and Exhibition Centre di Phnom Penh.

Menurut Kementerian Perdagangan, Kemboja mengeksport pakaian, kasut dan bagasi bernilai US$15.5 bilion (RM63 bilion) tahun lepas, meningkat hampir 16 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Eksport pakaian sahaja mencecah US$11.4 bilion (RM47 bilion).

Namun, angka eksport yang memberangsangkan itu menyembunyikan cabaran lebih besar apabila Kemboja tidak boleh terus bergantung kepada tenaga buruh kos rendah untuk bersaing dalam industri fesyen global yang pesat berubah, menurut pakar.

Model itu semakin sukar dipertahankan apabila gaji meningkat dan pengeluar di seluruh Asia melabur dalam automasi serta teknologi pengeluaran termaju untuk mendapatkan kelebihan daya saing.

Negara serantau seperti China, Vietnam, Bangladesh, India, Pakistan dan Indonesia mendahului industri tekstil dan pakaian global bernilai trilion dolar.

Pembuatan pintar kini dengan pantas menjadi pendekatan baharu dalam industri pakaian global.

Pengeluar pakaian menerima guna teknologi Industri 4.0 termasuk kecerdasan buatan (AI), Internet Benda (IoT), robotik, pemotongan automatik, pemantauan pengeluaran secara digital dan kawalan kualiti berasaskan data pada barisan pengeluaran.

Menurut pakar industri, teknologi itu dapat membantu kilang mengurangkan pembaziran bahan, meningkatkan ketepatan, memantau pengeluaran dalam masa nyata serta bertindak balas dengan lebih pantas terhadap perubahan tempahan dan trend fesyen.

“AI, automasi barisan pengeluaran, robotik, teknologi digital dan pembuatan pintar semakin menentukan daya saing sesebuah negara,” kata Hem Vanndy.

Bagi Kemboja, peralihan ini bukan bermakna menggantikan pekerja dengan mesin, sebaliknya meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai -- daripada pemasangan berintensifkan buruh kepada pembuatan bernilai lebih tinggi, pembangunan produk serta perintegrasian yang lebih meluas dalam rantaian bekalan fesyen global.

“Sekarang adalah era AI dan robotik dalam pengeluaran pakaian. Pasaran kini sangat sengit dan jika kita tidak menerima guna teknologi moden, kita akan ketinggalan.

“Jenama mempunyai tuntutan yang tinggi. Mereka mahukan produk berkualiti tinggi, mampan dan mesra alam.

“Teknologi pintar membantu mengurangkan pembaziran, menambah baik kawalan kualiti dan meningkatkan pengeluaran,” kata Pengurus Perhubungan Perkhidmatan Teknikal S.E.C Accessories Limited yang berpangkalan di Phnom Penh, Edison C. Estrada kepada Bernama di luar acara itu.

Ekspo perindustrian itu diadakan serentak dengan Pameran Industri Jentera Antarabangsa Kemboja ke-10 dan Pameran Industri Plastik, Getah, Percetakan dan Pembungkusan Antarabangsa Kemboja 2026.

Kira-kira 200 syarikat dari China, India, Vietnam dan Taiwan mempamerkan jentera, peralatan serta teknologi untuk industri pakaian, plastik, percetakan dan pembungkusan.

Acara berkenaan berlangsung serentak dari 13 hingga 16 Ogos.

-- BERNAMA