JOHOR BAHRU, 15 Ogos (Bernama) -- Program Motorsports Talk 2.0 2026 anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama dengan QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands), memberi peluang dan pendedahan kepada pelajar automotif dan kejuruteraan UTM, mengenai ekosistem sukan permotoran pada pentas antarabangsa.
Program yang berlangsung di Perpustakaan Raja Zarith Sofiah itu diserikan dengan keberangkatan Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim, yang juga pelumba pasukan Johor Motorsports Racing (JMR).
Tunku Abdul Rahman turut berkenan berkongsi pengalaman dan perjalanan pasukan JMR menempa kejayaan pada peringkat global, terutama selepas muncul sebagai pasukan Malaysia pertama menjuarai kategori Pro-Am dalam perlumbaan berprestij CrowdStrike 24 Hours of Spa di Belgium, baru-baru ini.
“Saya berasa amat terharu dan seakan tidak percaya ketika berdiri di atas podium. Hasil usaha gigih dan semangat berpasukan team JMR, kemenangan ini, kemenangan bersama,” titah baginda ketika sesi soal jawab bersama dengan pelajar pada program berkenaan di UTM, di sini baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR Brands Nehchal Khanna berkata kejayaan JMR di Belgium amat membanggakan Malaysia, sekali gus selaras dengan prinsip QSR Brands untuk membangunkan negara dan melahirkan generasi muda yang tangkas dan mampu bersaing di persada antarabangsa.
“Di QSR Brands, kami percaya bahawa pembinaan negara bangsa bermula dengan pembangunan modal insan yang berkeupayaan, berdaya tahan dan berpaksikan nilai-nilai murni.
“Kejayaan JMR menunjukkan kepentingan disiplin dan ketekunan dalam membentuk pemimpin masa depan, yang akan menyumbang kepada pertumbuhan dan daya saing Malaysia,” katanya.
Nehchal berkata memasuki tahun ketujuh kerjasama antara KFC Malaysia dan JMR, sukan permotoran itu memperlihatkan inovasi, teknologi, ketabahan dan kerja berpasukan yang sekali gus menjadi pemacu kejayaan.
“Melalui penglibatan secara langsung dengan para profesional industri dan atlet yang berpengalaman, para pelajar dapat melihat bagaimana ilmu yang dipelajari di dalam bilik darjah dapat diterapkan ke dunia sebenar, sekali gus mempersiapkan mereka untuk menyumbang kepada pembangunan masa depan negara,” katanya.
Dalam pada itu Naib Canselor UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim berkata program itu, turut memberi pendedahan kepada mahasiswa bahawa industri sukan permotoran menawarkan peluang merentasi pelbagai disiplin termasuk data, kecerdasan buatan (Al), pengurusan, komunikasi, pemasaran, perniagaan, psikologi, keselamatan dan pembangunan bakat.
Beliau berkata UTM bertanggungjawab melahirkan graduan yang bukan sahaja memiliki ilmu dari bilik kuliah, tetapi juga pengetahuan untuk menyelesaikan permasalahan di dunia sebenar.
“Justeru, UTM memperkukuh pembelajaran berasaskan pengalaman supaya mahasiswa memahami bagaimana ilmu yang dipelajari boleh diaplikasikan dalam persekitaran berprestasi tinggi,” katanya.
JMR tahun ini turut mencipta sejarah menerusi penampilan sulung dalam 24 Hours of Le Mans, dengan menamatkan saingan di kedudukan ke-14 kelas LMGT3, sebelum muncul sebagai pasukan Malaysia pertama memenangi kategori Pro-Am dalam 24 Hours of Spa-Francorchamps, Belgium.
-- BERNAMA