SHAH ALAM, 14 Ogos (Bernama) -- Tangisan M. Menaga Dewi selepas dinobatkan sebagai juara kategori 48 kilogram (kg) wanita judo pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 hari ini bukan sekadar luahan kegembiraan, malah simbol sebuah janji yang tertunai buat mendiang neneknya.
Atlet Kedah itu menghadiahkan pingat emas kepada mendiang neneknya yang meninggal dunia kira-kira tiga bulan lalu selepas menewaskan wakil Selangor, Lucus Chong Wen Le, 1-0 dalam aksi final yang sengit di Ideal Convention Centre (IDCC) di sini, hari ini.
Lebih menyentuh hati, Menaga Dewi yang sebak ketika menceritakan mengenai mendiang neneknya berkata kejayaan itu menjadi bukti bahawa segala pengorbanan dan harapan insan paling dekat dengannya itu tidak pernah dilupakan.
“Sebenarnya saya tidak menjangka boleh menang emas. Saya hanya fokus pada diri sendiri, tetapi tidak yakin dengan kemampuan diri.
“Bagaimanapun, sebelum masuk gelanggang, saya memang mahu dedikasikan emas ini untuk arwah nenek,” katanya kepada pemberita dengan nada sebak.
Kemenangan itu cukup bermakna buat Menaga Dewi kerana ia merupakan pingat emas pertama sepanjang penampilannya di pentas SUKMA, selepas tewas pada penampilan pertama sebelum meraih perak pada edisi 2024.
Menaga Dewi, 19, yang sudah berkecimpung dalam sukan judo selama tujuh tahun berkata penglibatannya dalam sukan tempur itu bermula ketika menuntut di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Johor, selepas sebelum itu aktif dalam olahraga.
Johor turut meraih dua pingat emas menerusi Muhammad Nur Amin Mohd Faizal dalam kategori lelaki bawah 55kg selepas menewaskan wakil Terengganu, Ammar Rafiki Mohd Ridzuwan, menerusi ippon, selain Putera Muhammad Qaid Muaz Mohd Zallei yang menewaskan Muhammad Lokman Hakim Mohamad Asri dari Terengganu 1-0 dalam kategori lelaki bawah 60kg.
-- BERNAMA