MELAKA, 13 Ogos (Bernama) -- Lebih 10,000 pengunjung dijangka memeriahkan Karnival Mini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Peringkat Negeri Melaka yang berlangsung selama tiga hari mulai esok hingga Ahad di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh berkata penganjuran karnival itu adalah sebahagian daripada usaha kementerian untuk mendekatkan pelbagai inisiatif, perkhidmatan dan program KPDN kepada masyarakat menerusi pendekatan lebih santai, interaktif serta mesra rakyat.
Beliau berkata antara tarikan utama ialah Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) yang memberi peluang kepada pengunjung mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga rendah sekali gus membantu meringankan perbelanjaan isi rumah.
"Kehadiran PJRM dalam karnival ini membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai inisiatif kerajaan dan merasai secara langsung manfaat program yang dilaksanakan KPDN dalam membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga yang lebih berpatutan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai juga berpeluang mengunjungi pelbagai reruai pameran, mendapatkan khidmat nasihat dan menyertai sesi padanan perniagaan yang disediakan sepanjang karnival.
Turut diadakan kejohanan sukan elektronik dengan kerjasama Todak, jualan MENU RAHMAH oleh peniaga trak makanan, pertandingan mewarna kanak-kanak, persembahan artis serta pameran kereta antik dan motosikal klasik.
Pelbagai aktiviti pentas dan kekeluargaan juga disediakan bagi memastikan karnival itu bukan sahaja memberi manfaat kepada pengunjung malah menawarkan pengalaman yang menyeronokkan kepada masyarakat pelbagai peringkat umur.
"Karnival mini ini turut menjadi satu lagi pendekatan kementerian untuk memperkenal dengan lebih dekat peranan dan fungsi KPDN kepada masyarakat khususnya dalam aspek perlindungan pengguna, pemantauan harga, penguatkuasaan undang-undang serta usaha menangani kos sara hidup," katanya.
Sehubungan itu, Fuziah mengalu-alukan kehadiran masyarakat setempat dan orang ramai untuk bersama-sama memeriahkan karnival mini tersebut yang bermula dari 10 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu manakala pada Ahad, ia berlangsung dari 10 pagi hingga 6 petang.
-- BERNAMA