Am 13/08/2026 07:50 PM

Dua Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Kes Pecah Rumah Di Tanjung Bungah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Dua Lelaki Ditahan Bantu Siasatan Kes Pecah Rumah Di Tanjung Bungah

GEORGE TOWN, 13 Ogos (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki kerana disyaki terbabit dalam beberapa kes pecah rumah, samun bersenjata, pencerobohan dan kecurian di kawasan Tanjung Bungah, di sini. 

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata suspek masing-masing berusia 29 tahun itu ditahan secara berasingan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dalam operasi khas pada  8.45 pagi dan 10.05 pagi tadi. 

"Suspek pertama ditahan di Machang Bubok, manakala suspek kedua ditahan di Jalan Perda Timur, Bukit Mertajam. Susulan penahanan mereka polis merampas beberapa barang kes yang dipercayai milik mangsa.

"Mereka akan direman esok bagi membantu siasatan berhubung beberapa kejadian jenayah dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis menerima empat laporan berkaitan kes pecah rumah, samun bersenjata, pencerobohan dan kecurian, yang dipercayai menggunakan modus operandi yang sama di kawasan Tanjung Bungah sejak 28 Julai hingga 2 Ogos lepas.

Beliau berkata dua daripada kes yang dilaporkan itu melibatkan kerugian kira-kira RM17,000.

Empat kertas siasatan telah dibuka, masing-masing satu kes pecah rumah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, samun bersenjata (Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan), dan pencerobohan (Seksyen 448 Kanun Keseksaan), manakala satu kes kecurian (Seksyen 379 Kanun Keseksaan).

-- BERNAMA