KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) akan menganjurkan Program Nasional Kesedaran Anti-Scam 2026 pada 20 Ogos ini bagi memperkukuh perlindungan dan kesedaran masyarakat terhadap ancaman jenayah penipuan kewangan digital serta penyalahgunaan akaun keldai.
Ketua Aktivis dan pengasas bersama PPIM Datuk Nadzim Johan berkata program yang dijadualkan dari 9 pagi hingga 2 petang di Hotel Royale Chulan Damansara di sini akan mengetengahkan pendekatan pendidikan dan perkongsian ilmu.
“Program ini dijangka disertai kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada wakil kementerian dan agensi kerajaan, institusi kewangan, badan penguat kuasa, institusi pengajian tinggi, aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak industri,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata antara pengisian utama program berkenaan adalah sesi Forum Nasional bertajuk "Scam Digital: Ancaman Keselamatan Kewangan Negara dan Keldai Akaun" yang membariskan panel daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) serta Bank Negara Malaysia (BNM).
Nadzim berkata selain forum, peserta juga berpeluang mengunjungi pameran interaktif kesedaran antipenipuan serta menyertai sesi jaringan strategik bagi membina kerjasama yang lebih proaktif bersama pelbagai agensi berkaitan.
-- BERNAMA