SEREMBAN,13 Ogos (Bernama) -- Persatuan Tinju Amatur Negeri Sembilan (PTANS) menawarkan insentif RM3,000 kepada setiap atlet yang berjaya meraih pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Presidennya Mohd Fitri Omar berkata insentif berkenaan diharap menjadi pembakar semangat kepada atlet untuk terus berdisiplin, bekerja keras dan memberikan persembahan terbaik dalam usaha merealisasikan sasaran pasukan.
"Kita bukan sekadar mahu bertanding. Kita mahu melihat atlet Negeri Sembilan berjuang untuk emas dan mengharumkan nama negeri.
"RM3,000 ini sebagai suntikan motivasi kepada atlet kita secara tidak langsung sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan dan komitmen mereka sepanjang menjalani persiapan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata PTANS berharap sokongan dan insentif itu dapat meningkatkan motivasi atlet untuk memberikan aksi terbaik serta membawa pulang kejayaan buat Negeri Sembilan pada temasya berkenaan.
Mohd Fitri berkata pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas menerusi dua beradik Nurin Irdina Mohamad Yuzamry (45-48kg) dan Airil Asyraf (48-51 kg), selain turut menghantar enam lagi atlet negeri untuk menyertai temasya dwitahunan kebangsaan itu.
Atlet lain Nur Farzana Husna Shahrelamdan (flyweight 48-52kg), Nuraisyah Alyaa Mohd Shaid (featherweight 52-57kg), Abdullah Mujahhidin Arsath Khan (light welterweight 60-63.5kg), Muhamad Azfar Amsyar Azrul (lightweight 57-60kg), Nik Muhammad Hairy Haiqal Nik Hazman (light middleweight 67-71kg) dan Nurfaiz Syazwi Mohd Shaid (welterweight 63.5-67kg).
Pada edisi SUKMA Sarawak 2024, skuad tinju Negeri Sembilan meraih pingat perak dan gangsa.
Beliau bagaimanapun yakin dan percaya, atlet lain juga mampu melakukan kejutan dengan meraih pingat selepas melakukan persiapan rapi termasuk menjalani latihan selama dua minggu di Filipina bulan lepas.
"Proses (prestasi) mereka meningkat dari segi stamina dan skil, serta lebih yakin kerana kita tahu Filipina adalah antara kuasa besar (sukan tinju) di Asia," katanya.
-- BERNAMA