Am 13/08/2026 04:31 PM

Kes Tikam Pelajar: Remaja Lelaki Mohon Maaf Ketika Beri Keterangan Bela Diri

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kes Tikam Pelajar: Remaja Lelaki Mohon Maaf Ketika Beri Keterangan Bela Diri
Gambar hiasan.

SHAH ALAM, 13 Ogos (Bernama) -- Remaja lelaki berusia 15 tahun yang diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, tahun lepas, memohon maaf atas apa yang berlaku ketika memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Peguam Kitson Foong berkata anak guamnya membuat kenyataan itu selepas memilih untuk memberikan kenyataan tidak bersumpah selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap remaja berkenaan.

“Dia juga mengatakan dia minta maaf atas apa yang berlaku yang menyebabkan kematian dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas prosiding di hadapan Hakim Adlin Abdul Majid.

Terdahulu, Foong memaklumkan pihak pembelaan memulakan kes mereka dengan membuat ucapan pembukaan, menyatakan bahawa pembelaan akan mengemukakan keterangan saksi pembelaan kedua, iaitu pakar psikiatri bagi menyokong pembelaan tidak siuman di bawah Seksyen 84 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata pakar psikiatri dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Ian Lloyd Anthony kemudian dipanggil sebagai saksi pakar untuk menerangkan keadaan mental remaja itu, termasuk proses rujukan, rawatan serta hasil pemeriksaan yang dijalankan.

Foong berkata selain laporan bertulis yang telah diterima mahkamah, pihaknya turut mengemukakan soalan kepada pakar itu berhubung istilah dan definisi perubatan psikiatri, termasuk psikosis dan skizofrenia.

“Doktor itu yang juga saksi terakhir, turut memberikan keterangan bahawa remaja berkenaan mengalami pelbagai ilusi serta penyakit mental sejak kira-kira lima tahun lepas,” katanya.

Foong berkata pakar berkenaan turut memberikan pandangan bahawa tempoh tanpa rawatan yang panjang boleh menyebabkan keadaan penyakit mental menjadi lebih serius, khususnya apabila ia berlaku ketika remaja berkenaan masih kanak-kanak.

“Keterangan Dr Ian Lloyd diberikan sebagai keterangan pakar di bawah Seksyen 45 Akta Keterangan 1950,” kata peguam itu.

Keterangan saksi pakar berkenaan bersambung petang ini, termasuk sesi soal balas sekiranya ada, sebelum pihak pembelaan menutup kes mereka dan seterusnya mengemukakan hujahan.

Tertuduh juvana itu didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di dalam bilik tandas pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Utama antara 9.20 pagi dan 9.35 pagi, 14 Okt 2025.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, namun sebagai juvana, remaja berkenaan tertakluk kepada peruntukan Akta Kanak-Kanak 2001.

-- BERNAMA