PUTRAJAYA, 13 Ogos (Bernama) -- Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) ke-18 hari ini meneliti secara mendalam hala tuju Beras Putih Tempatan (BPT) bagi memastikan kepentingan pengguna dan kelangsungan industri padi serta beras tempatan dapat diseimbangkan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata antara perkara diberi perhatian ialah cadangan mekanisme peralihan atau soft landing melalui program beras bersubsidi bagi memastikan kumpulan rentan terus dilindungi sebelum sebarang perubahan dasar dilaksanakan secara menyeluruh.
Beliau berkata mesyuarat juga bersetuju supaya cadangan peluasan skop Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada pembelian makanan berkhasiat seperti buah-buahan, sayur-sayuran serta sumber protein segar diangkat untuk pertimbangan Mesyuarat NACCOL yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Langkah ini penting supaya bantuan kerajaan bukan sahaja membantu kuasa beli rakyat, tetapi turut mendorong akses kepada pemakanan yang lebih sihat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid berkata pendekatan menangani kos sara hidup tidak boleh dilihat semata-mata berdasarkan harga barangan di rak pasar raya, sebaliknya perlu merangkumi kos pengeluaran, rantaian bekalan, kemampuan mendapatkan makanan berkhasiat, kos kesihatan dan pendidikan serta perlindungan golongan rentan.
“Sebab itu, setiap dasar mesti dinilai berdasarkan kesannya kepada kehidupan sebenar rakyat,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.
Beliau berkata kerajaan juga mengambil serius tekanan kos yang dihadapi sektor perniagaan, logistik dan agromakanan.
“Perkembangan geopolitik termasuk ketidaktentuan di Asia Barat, kos pematuhan import serta kesan penyasaran subsidi terhadap kos pengeluaran makanan perlu terus dipantau supaya ia tidak diterjemahkan kepada kenaikan harga yang membebankan pengguna,” katanya.
Ahmad Zahid berkata agensi berkaitan turut diminta memperhalusi mekanisme sedia ada termasuk bantuan bersasar kepada petani, nelayan dan kumpulan yang terkesan.
Bagi sektor kesihatan, beliau berkata mesyuarat mengambil maklum kemajuan 11 inisiatif RESET yang sedang dilaksanakan bagi membantu menangani kos penjagaan kesihatan swasta, memperluas akses serta memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat.
Ahmad Zahid berkata usaha itu merupakan sebahagian daripada pendekatan menyeluruh kerajaan di bawah Pelan Tindakan Kos Sara Hidup 2030 bagi menangani tekanan kos kehidupan merentas sektor dan bukan secara berasingan.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan kekal komited memastikan kos pendidikan tidak menjadi penghalang kepada pembangunan modal insan.
“Berdasarkan pemetaan 13 program bantuan pendidikan tertiari, sebanyak 62,937 pelajar tingkatan enam dan universiti menerima bantuan pada tahun lepas dengan nilai keseluruhan RM589.6 juta.
“Bantuan seperti ini perlu terus diperkukuh supaya anak-anak daripada setiap lapisan masyarakat mempunyai peluang yang saksama untuk melanjutkan pendidikan,” katanya.
-- BERNAMA