Oleh Atira Khalisha Nor Adnan
JASIN, 13 Ogos (Bernama) -- Tatkala kebanyakan anak muda seusianya baru ingin mengenal dunia kerjaya, Dickson Tai, 22, sudah menggalas tanggungjawab besar mengemudi empayar durian keluarganya yang telah bertapak kukuh sejak 35 tahun lalu.
Bagi anak jati Jasin ini, dusun seluas 5.6 hektar di Tiang Dua bukan sekadar hamparan tanah pertanian, tetapi merupakan saksi proses kematangannya daripada seorang kanak-kanak hingga kini, menjadi tonggak generasi ketiga menguruskan warisan datuk dan bapanya.
“Ada pokok yang mungkin lebih tua daripada saya. Jadi bagi saya, bukan sekadar pokok durian biasa. Mungkin ketika itu datuk sendiri tidak pernah menyangka, 35 tahun kemudian pokok-pokok tersebut dijaga oleh generasi ketiga.
“Saya membesar di sini. Dusun ini sebahagian daripada kehidupan dan proses saya membesar. Dari kecil saya lihat datuk dan ayah jaga pokok durian, lama-kelamaan saya mula belajar serta bantu mereka,” katanya kepada Bernama ketika program Melaka Surreal Durian Experience 2026 anjuran Tourism Malaysia Wilayah Selatan, baru-baru ini.
Mempunyai rutin harian yang padat, Tai bukan sahaja mahir mengenal pasti setiap varieti, malah mendalami keperluan setiap batang pohon bagi memastikan kualiti tanaman sentiasa berada pada tahap optimum sebelum musim buah luruh tiba.
Menceritakan cabaran di sebalik keenakan buah durian, Tai mengakui penjagaan tanaman itu memerlukan kesabaran tinggi, terutama dalam mendepani ancaman penyakit akar yang boleh meragut nyawa pokok.
“Pokok durian sama dengan manusia, kadang-kadang ada penyakit akar yang membuatkannya mati, penjagaan pokok turut bergantung kepada jenis durian, pokok biasa seperti durian kahwin memadai dipasang jaring sebagai sokongan.
“Jenis premium seperti musang king dan black thorn diberi perhatian lebih rapi. Saya jaga macam bayilah, setiap hari saya akan bercakap dan bercerita dengan pokok durian itu,” katanya.
Seperti perniagaan lain, Tai mengakui mengusahakan dusun turut hadir dengan tekanan dan cabaran, terutama sekali apabila berdepan dengan masalah seperti kualiti buah, penyakit pokok, pasaran atau urusan eksport.
“Memang ada masa terasa agak berat, tetapi bila saya fikir semula, datuk yang mulakan, ayah yang sambung dan sekarang tanggungjawab itu sampai kepada saya," katanya.
Selain faktor penyakit, kedudukan dusun yang berhampiran kawasan kelapa sawit turut mendedahkan tanaman kepada ancaman haiwan liar serta pencerobohan manusia, terutama apabila aroma durian mula menusuk hidung ketika buah mula gugur.
Menurut Tai hasil kutipan pada sebelah pagi sahaja boleh mencecah hampir satu tan bergantung pada keadaan musim.
Visi pemuda ini juga tidak terhad di sempadan dusun sahaja. Beliau kini berjaya mengembangkan sayap perniagaan keluarga ke bidang pemborongan dan pengeksportan durian secara meluas.
“Pekebun dari Melaka akan hantar buah dekat kami dan dari situ akan buat borong dan eksport,” katanya.
Kini durian dari dusun keluarga serta pekebun sekitar Melaka dihantar ke beberapa pasaran termasuk China, Hong Kong, Singapura, Indonesia dan Macau, dengan penghantaran melalui penerbangan ke China mengambil masa kira-kira 18 jam dan Hong Kong sekitar 12 jam.
Dalam masa yang sama, Tai berhasrat mengangkat varieti eksklusif Melaka ke persada luar, khususnya jenis “limited edition” seperti D103 (mimpi cinta) (dream lover) yang mempunyai rasa pahit manis unik serta D2 atau “Datuk Nina” yang menjadi kebanggaan negeri tersebut.
-- BERNAMA