KUANTAN, 13 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai wanita sebuah agensi kerajaan di Pahang disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM19,000 sebagai balasan membantu mendapatkan tender dan kontrak di sebuah agensi kerajaan lain di negeri berkenaan.
Menurut sumber, penjawat awam berusia lingkungan 30-an itu ditahan kira-kira 6.45 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Temerloh.
“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara 2016 hingga 2021. Wanita itu dipercayai menerima wang rasuah daripada beberapa syarikat dan individu melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi miliknya,” menurut sumber berkenaan.
Wanita berkenaan kini direman selama lima hari sehingga 19 Ogos selepas Majistret Anis Adlina Abu Johan membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Pahang Mohamad Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA