Am 13/08/2026 04:16 PM

Lelaki Disyaki Terjun Sungai Elak Pemeriksaan Polis Ditemukan Lemas

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Lelaki Disyaki Terjun Sungai Elak Pemeriksaan Polis Ditemukan Lemas
Supt Mohd Rozaime Ab Rahim. fb Polis Besut

JERTIH, 13 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang dipercayai terjun ke Sungai Kampung Gong Maksom dekat Kampung Raja di sini semalam bagi mengelak daripada pemeriksaan polis, ditemukan lemas pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Mohd Rozaime Ab Rahim berkata mayat mangsa yang telah dikenali pasti identitinya ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) sekitar 11.30 pagi, kira-kira 250 meter dari lokasi terakhir lelaki tersebut dilihat. 

Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 5.45 petang semalam, pihak polis sedang menjalankan pemeriksaan berkaitan kes dadah di kawasan berhampiran sungai tersebut. 

“Lelaki itu dipercayai terjun ke dalam sungai ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis sebelum gagal dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rozaime berkata mayat lelaki itu telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk proses bedah siasat. 

Sementara itu, beliau berkata pemeriksaan lanjut di sebuah bangsal kayu berhampiran lokasi kejadian turut menemukan sejumlah pil disyaki dadah. 

-- BERNAMA