PUTRAJAYA, 13 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap seorang bekas cef atas kesalahan membunuh anak tiri lelakinya berusia empat tahun pada 2015.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak rayuan terakhir Mohd Sazly Zamry terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.
Rhodzariah ketika menyampaikan keputusan sebulat suara berkata perbuatan perayu (Mohd Sazly) membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang tidak berdosa adalah suatu perbuatan amat kejam dan tidak berperikemanusiaan.
Beliau berkata antara bukti yang turut memberatkan hukuman terhadap perayu ialah keterangan pakar patologi yang tidak dipertikaikan bahawa mangsa mengalami 29 kecederaan luaran pada badan dan kepala, yang tidak mungkin dilakukan oleh orang lain selain perayu.
“Kekejaman dilakukan terhadap mangsa yang tidak berdaya dan tidak berdosa itu sukar diterima akal serta sama sekali tidak boleh dimaafkan, amat keji dan zalim, sehingga bukan sahaja mengejutkan nurani kehakiman, malah turut menggugat hati nurani masyarakat secara keseluruhannya,” kata beliau.
Rhodzariah berkata hukuman mati adalah satu-satunya hukuman yang wajar dan setimpal dengan jenayah dilakukan Mohd Sazly, 49.
Terdahulu, beliau berkata sabitan terhadap Mohd Sazly adalah kukuh kerana pihak pendakwaan telah mengemukakan bukti keadaan yang kuat bagi membuktikan kesalahannya melampaui keraguan munasabah.
Rhodzariah berkata pada waktu kejadian, Mohd Sazly merupakan satu-satunya individu yang menjaga mangsa selama dua minggu ketika isterinya keluar bekerja, dan sepanjang tempoh itu mangsa sering menjadi sasaran penderaan secara lisan dan fizikal.
Beliau seterusnya berkata Mohd Sazly turut meminta bantuan jiran untuk membuang mayat kanak-kanak itu, dengan mendakwa mangsa telah dilanggar dalam satu kemalangan oleh seorang rakannya yang enggan dinamakan.
Mohd Sazly juga bertindak dengan melawan ketika hendak ditangkap dan menghalang isterinya daripada membuka pintu ketika polis tiba.
Mohd Sazly disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 17 Jan 2020 kerana membunuh Aidil Adha, anak lelaki kepada isteri keduanya, di sebuah rumah di Jalan Sungai Udang, Klang, antara 2 petang hingga 6.15 petang pada 20 Dis 2015.
Berdasarkan keterangan saksi, mangsa dikurung dalam sebuah bilik selama dua minggu, dengan seutas tali ditarik dari dalam bilik dan diikat di bahagian luar bagi memastikan pintu sentiasa terkunci. Sepanjang tempoh itu, mangsa juga dimarahi dan dipukul.
Polis kemudian menemukan mayat mangsa dalam sebuah tandas yang tidak digunakan di belakang rumah tersebut.
Ujian DNA mengesahkan terdapat DNA mangsa pada rotan dan batang mop, selain campuran DNA pada percikan darah yang ditemukan di dinding.
Pada prosiding di Mahkamah Persekutuan hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang menggesa mahkamah mengekalkan hukuman tersebut dengan menyatakan bahawa kanak-kanak itu telah mengalami penderaan berpanjangan selama dua minggu.
Sementara itu, peguam Datuk Rozal Azimin Ahmad memohon agar mahkamah menggantikan hukuman mati dengan hukuman penjara.
-- BERNAMA