Am 13/08/2026 03:20 PM

VentureTECH Labur RM28 Juta Dalam Firma Teknologi Bumiputera Bagi Pacu Inovasi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
VentureTECH Labur RM28 Juta Dalam Firma Teknologi Bumiputera Bagi Pacu Inovasi
Kredit: VentureTECH Sdn Bhd

PUTRAJAYA, 13 Ogos (Bernama) -- VentureTECH Sdn Bhd melabur sejumlah RM28 juta dalam tiga firma teknologi dengan pertumbuhan dan nilai tinggi yang diterajui Bumiputera bagi mempercepat inovasi dalam bidang automasi industri, penjagaan kesihatan serta keterangkuman digital.

Syarikat pelaburan berimpak disokong kerajaan itu dalam kenyataannya hari ini, memaklumkan pelaburan strategik itu melibatkan Move Robotic Sdn Bhd, Recove Group Sdn Bhd dan Edote Sdn Bhd yang sekali gus dapat membantu memperkukuh keupayaan teknologi, daya saing industri serta ketahanan ekonomi jangka panjang Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif VentureTECH Azizan Jaafar berkata kesemua syarikat itu telah memaparkan kemampuan teknologi inovatif yang mempunyai potensi komersial kukuh serta keupayaan menangani realiti atau cabaran dalam dunia sebenar.

“Di VentureTECH, kami melabur dalam syarikat-syarikat yang mempunyai teknologi inovatif dan dapat menyelesaikan realiti cabaran dunia, memperkukuh industri strategik dan berpotensi untuk berkembang secara mampan,” katanya.

Beliau turut menekankan ini sejajar dengan peranan VentureTECH yang melangkaui daripada setakat menyediakan modal, malah turut bekerjasama dengan syarikat yang dilabur untuk meningkatkan keupayaan, membuka peluang pasaran baharu dan menyokong pengembangan secara mampan.

Pada masa sama, kata Azizan, pelaburan itu akan menyumbang kepada aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).

Dalam pada itu, VentureTECH memaklumkan syarikat Move Robotic merupakan penyedia ekosistem automasi gudang dan logistik bersepadu yang merangkumi kemudahan seperti robot mudah alih autonomi, penyelesaian pengendalian bahan autonomi, sistem simpanan dan pengeluaran automatik, sistem penghantar palet serta sistem pengurusan gudang dan pengurusan robot milik sendiri.

Berikutan itu, menerusi model robot-sebagai-perkhidmatan (RaaS), para pelanggan dapat melaksanakan penyelesaian automasi menerusi langganan secara pakej yang mengurangkan pelaburan awal selain menjadikan automasi lebih mudah diakses dan mampu diperluas.

Menurut VentureTECH, pendekatan sedemikian dapat memacu Move Robotic untuk muncul sebagai penyedia pertama Malaysia yang menawarkan penyelesaian RaaS secara lengkap.

Recove pula adalah platform pengkomersialan teknologi perubatan yang turut menjalin kerjasama dengan universiti, penyelidik dan pakar perubatan bagi mengubah inovasi penjagaan kesihatan berasaskan penyelidikan kepada produk yang sedia untuk dipasarkan.

Ini termasuk kejayaannya mengkomersialkan NEORUBIN® iaitu peranti saringan bukan invasif bagi mengesan penyakit kuning bayi baru lahir dan pada masa masa turut membangunkan teknologi perubatan lain.

VentureTECH menyifatkan pelaburan ini dapat membantu dari segi mempercepatkan proses bagi tujuan pengkomersialan produk-produk serta membolehkan lebih banyak teknologi dibangunkan oleh rakyat Malaysia dapat sampai kepada hospital, penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pesakit.

Firma Edote pula menumpukan teknologi bantuan, termasuk berjaya membangunkan eBrelle yang dianggap sebagai komputer riba Braille kendiri pertama di Malaysia dan Asia Tenggara.

VentureTECH memaklumkan, peranti  yang menggabungkan perkakasan, perisian dan aplikasi yang memfokuskan kepada kebolehcapaian, turut membolehkan pengguna dalam kalangan orang kurang upaya penglihatan dapat mengakses, mencipta dan berinteraksi dengan kandungan digital secara bebas.

Sehubungan itu, VentureTECH menyifatkan pelaburan dalam Edote dapat membantu syarikat berkenaan mengembangkan lagi keupayaan pengeluaran Edote, memperkukuh portfolio produk keluarannya serta memperluas jangkauan teknologi bantuan  itu di Malaysia serta rantau ini.

Kesemua pelaburan ini, menurut VentureTECH, membuktikan komitmen berterusannya dalam membangunkan syarikat Bumiputera yang berpotensi untuk bersaing di peringkat serantau dan global selain dapat memperkukuh ekosistem inovasi Malaysia.

-- BERNAMA