SHAH ALAM, 13 Ogos (Bernama) -- Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Lau Weng San memaklumkan tiada keperluan berbangkit untuk mengumumkan kekosongan mana-mana kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Beliau berkata ia susulan semakan menyeluruh dijalankan pihaknya tidak menemukan mana-mana wakil rakyat yang didapati telah melanggar syarat sah untuk memegang kerusi masing- masing.
“Saya menerima makluman terdapat isu bahawa ada ADUN yang mungkin boleh kehilangan kelayakan mereka. Saya telah membuat semakan dan setakat pagi Isnin lepas tiada sebarang isu sedemikian, jadi tidak perlu saya buat apa-apa pengumuman terhadap mana-mana ADUN.
“Semakan telah dibuat dengan semua pihak, menyeluruh, menyentuh semua sudut dan melibatkan semua ADUN,” katanya pada sidang media Rumusan Perbahasan DUN Selangor di Lobi Wisma DUN Selangor di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dilaporkan berkata Lau akan memanggil seorang ADUN yang didakwa hilang kelayakan untuk menyemak status terkini wakil rakyat terbabit.
Media turut melaporkan spekulasi mengenai kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) di Selangor susulan status kebankrapan seorang ADUN akhirnya terjawab apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan Perintah Kebankrapan terhadap wakil rakyat berkenaan.
Dokumen perintah mahkamah yang diperlihatkan kepada agensi media itu menunjukkan ADUN terbabit berjaya memperoleh perintah membatalkan Perintah Kebankrapan dikenakan terhadapnya selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonannya di bawah Seksyen 105 Akta Insolvensi 1967.
-- BERNAMA