Am 13/08/2026 02:54 PM

Pencemaran Air Bukan Punca Ratusan Ikan Mati Di Kolam Takungan Air Taman Desa Mewah - LUAS

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Pencemaran Air Bukan Punca Ratusan Ikan Mati Di Kolam Takungan Air Taman Desa Mewah - LUAS

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Pembuangan bangkai ikan dari kawasan berhampiran dipercayai menjadi punca ratusan ikan ditemukan mati di Kolam Takungan Banjir Taman Desa Mewah, Semenyih, Selangor baru-baru ini.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan kolam berkenaan mempunyai tiga saluran masuk yang menghubungkan kawasan perumahan dan perniagaan komersial di Taman Desa Mewah serta Bandar Sunway Semenyih.

“Kemungkinan kejadian itu disebabkan oleh bangkai ikan daripada kawasan berhampiran yang dibuang ke saluran berkaitan dan seterusnya mengalir ke kolam berkenaan melalui tiga inlet kolam tersebut,” menurut LUAS dalam maklum balas mengenai kejadian itu kepada Bernama, baru-baru ini.

LUAS memaklumkan ujian pensampelan mendapati Indeks Kualiti Air (IKA) berada pada tahap 72.2, iaitu Kelas III dengan kualiti air kolam secara keseluruhannya berada dalam keadaan baik, selain kadar bacaan oksigen terlarut adalah tinggi.

Lembaga itu menyatakan yang pihaknya akan turut melakukan pemantauan dari semasa ke semasa sekiranya isu sama berulang.

Sementara itu, aktivis komuniti Hamdan Abu berkata penemuan ikan mati di kolam takungan itu telah tiga kali berlaku sejak Mei lepas.

"Pada 3 Ogos, kira-kira 3 hingga 4 petang, kita kesan ada beberapa ekor ikan mati tetapi tidak beri perhatian kerana menyangka perkara biasa. Bagaimanapun, pada pagi 4 Ogos, beratus-ratus ekor ikan didapati mati di dalam kolam," katanya kepada Bernama.

Hamdan sebelum ini telah membuat aduan kepada beberapa agensi berkaitan termasuk LUAS, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Indah Water Konsortium (IWK) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Beliau berkata kejadian itu turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan orang ramai kerana kolam berkenaan sering menjadi lokasi pemancing dan mempunyai banyak ikan, termasuk tilapia.

Hamdan berkata kolam berkenaan mempunyai saliran yang mengalir ke Sungai Semenyih dan beliau bimbang sekiranya berlaku pencemaran, ia boleh memberi kesan lebih besar terhadap sumber air.

-- BERNAMA