Am 13/08/2026 02:46 PM

MN Holdings Peroleh Kontrak Bernilai RM71.02 Juta Bagi Bina Pencawang Masuk Utama TNB

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
MN Holdings Peroleh Kontrak Bernilai RM71.02 Juta Bagi Bina Pencawang Masuk Utama TNB

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Unit MN Holdings Bhd (MN Holdings), iaitu MN Power Transmission Sdn Bhd memperoleh kontrak bernilai RM71.02 juta daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk membina pencawang masuk utama Blue Valley 132/33 kilovolt (kV) baharu di Cameron Highlands, Pahang.

Menurut MN Holdings dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kontrak itu diterima pada 12 Ogos 2026. 

“Kerja-kerja tersebut merangkumi pembekalan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan pencawang masuk utama baharu dengan susulan palang bas berkembar, lengkap dengan kerja-kerja sivil, utama, sekunder dan semua yang berkaitan,” katanya. 

Tambah MN Holdings, kontrak itu bermula pada 12 Ogos dan dijangka siap dalam tempoh 900 hari dari tarikh tersebut.

Menurutnya lagi, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan akan datang dan aset bersih sesaham syarikat tersebut. 

-- BERNAMA