GEORGE TOWN, 13 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) memperkukuh kerjasama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bagi meningkatkan keselamatan dan memperkemas prosedur pemeriksaan di pintu masuk negeri, khususnya Pangkalan Kontena Butterworth Utara (PKBU).
Pengerusi SPPP Datuk Yeoh Soon Hin berkata penambahbaikan langkah keselamatan perlu dilaksanakan sejajar dengan memudahkan perdagangan yang sah dan memastikan operasi lancar di terminal.
“Peningkatan keselamatan mesti seiring dengan operasi perdagangan yang lancar, memastikan perdagangan yang sah berterusan tanpa gangguan di samping mengelakkan kesesakan yang boleh menjejaskan aktiviti harian di terminal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata SPPP akan terus memberikan sokongan penuh kepada AKPS termasuk melalui perkongsian maklumat, bantuan teknikal dan penggunaan teknologi pengawasan moden untuk memperkukuh keupayaan pemantauan dan penguatkuasaan.
Usaha itu akan dapat membantu mengurangkan risiko keselamatan seterusnya menyumbang secara positif kepada kesejahteraan penduduk di Pulau Pinang, katanya.
Yeoh berkata kerjasama berterusan antara SPPP dan AKPS adalah penting dalam memastikan pengurusan pelabuhan yang lebih selamat, lebih cekap dan kompetitif seiring dengan dasar kerajaan serta keperluan operasi di lapangan.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat delegasi AKPS yang diketuai Komander AKPS Pulau Pinang Zuhair Jamaludin.
Kunjungan itu juga menjadi platfom untuk kedua-dua pihak membincangkan langkah bagi memperkemas prosedur pemeriksaan di pintu masuk di samping mengimbangi keperluan keselamatan dengan keperluan untuk melancarkan pergerakan kargo dan perdagangan yang lebih cekap.
-- BERNAMA