MELAKA, 13 Ogos (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan menggagalkan cubaan menyeludup masuk bahan kimia disyaki digunakan bagi pemprosesan dadah bernilai hampir RM4.96 juta melalui perairan Klebang di sini pada Selasa lepas.
Pengarah APMM Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata dalam kejadian 9.06 malam itu, aset agensi itu sedang melaksanakan rondaan rutin sebelum menemukan enam kotak dibalut dengan plastik hitam disyaki mengandungi cecair atau bahan kimia untuk memproses dadah di pesisir Pantai Klebang.
"Hasil pemeriksaan menemukan 67 botol cecair bahan kimia dipercayai digunakan dalam pemprosesan dadah sintetik dan nilai rampasan bahan tersebut bagi pasaran gelap hampir RM4.96 juta.
"Tiada tangkapan dibuat di lokasi kejadian kerana suspek dipercayai telah meninggalkan bahan tersebut selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua barang rampasan itu dibawa ke Pejabat APMM Melaka dan Negeri Sembilan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952 kerana ia melibatkan bahan kimia terkawal yang disalahgunakan bagi tujuan penghasilan dadah berbahaya.
Salehuddin berkata APMM terus memperhebat rondaan, risikan serta kerjasama strategik dengan agensi keselamatan lain dalam usaha membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan.
Katanya, komuniti pesisir pantai dan nelayan juga diminta menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim yang beroperasi 24 jam.
-- BERNAMA