KUALA TERENGGANU, 12 Ogos (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan seorang lelaki serta merampas pelbagai peralatan memproses dan kayu tidak bercukai berjumlah RM640,510 dalam Ops Khazanah di sebuah kilang kayu di Jalan Sungai Tong, Gerdong, Kuala Berang kira-kira 1 tengah hari tadi.
Komander Briged Tenggara PGA Senior Asisten Komisioner (SAC) Ahmad Radzi Hussain berkata bertindak atas maklumat dan risikan, PGA Kuala Terengganu dengan bantuan Pejabat Perhutanan Daerah Hulu Terengganu telah melaksanakan operasi berkenaan dan menahan suspek berusia 20 tahun yang berasal dari Setiu.
“Hasil pemeriksaan menemukan pelbagai peralatan seperti jentera berat, mesin pengasah, lori pengangkut, batang kayu jaras dan batang kayu bulat yang dianggarkan bernilai RM640,510.
“Kesemua barangan itu dirampas untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 68 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata siasatan lanjut juga mendapati pemilik kilang yang dikenali sebagai Sekati dan dipercayai menetap di Kampung Gerdong didapati mengendalikan operasi kilang tanpa mematuhi syarat-syarat lesen serta peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa berkaitan.
Beliau berkata urusan pembelian kayu juga dipercayai dijalankan melalui orang tengah bagi mengelak kaitan secara langsung dengan pemilik kilang, selain urus niaga dilakukan secara tunai bagi mengelak pengesanan serta semakan wang oleh pihak berkuasa.
“Pihak kami akan terus mempergiat pemeriksaan dan pemantauan dari masa ke semasa bagi memastikan tiada penyalahgunaan permit, aktiviti pembalakan haram serta pencerobohan khazanah hutan simpan, khususnya di Terengganu,” katanya.
-- BERNAMA