MERSING, 12 Ogos (Bernama) -- Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) dan anak syarikatnya, AmanahRaya Trustees Berhad (AmanahRaya Trustees) melalui Yayasan AmanahRaya telah menyalurkan sumbangan bernilai hampir RM200,000 bagi memperkasa komuniti serta memelihara alam sekitar di daerah berkenaan.
Inisiatif itu disalurkan menerusi Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) “Prihatin Mersing: Alam Terjaga, Warisan Terpelihara” yang berlangsung di Mersing dan Pulau Tinggi dari 10 Ogos hingga semalam.
Sumbangan itu merangkumi bantuan tunai kepada hampir 200 penerima, pemasangan lampu solar, penyerahan sebuah motosikal peronda kepada Jabatan Perikanan Negeri Johor, sokongan kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri batik dan minyak kelapa dara serta penyerahan komputer riba dan jaket keselamatan.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Daerah Mersing, Majlis Daerah Mersing, Pejabat Perikanan Daerah Mersing dan agensi-agensi berkaitan itu menghimpunkan pelbagai inisiatif kebajikan, pembangunan komuniti serta pemuliharaan alam sekitar.
Sepanjang program berlangsung, para sukarelawan Kumpulan AmanahRaya turut menyertai pelbagai aktiviti pemuliharaan alam sekitar termasuk pembersihan kawasan pulau, pelepasan anak penyu dan mengecat mural di Jalan Abu Bakar, bandar Mersing.
Bersempena Bulan Kebangsaan, para sukarelawan turut mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara, di samping memupuk kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar.
Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Perniagaan dan Operasi Kumpulan AmanahRaya Jack Yap Ngee Heong berkata pihaknya percaya kejayaan sesebuah syarikat bukan sahaja diukur melalui prestasi perniagaan tetapi juga nilai yang dapat dikembalikan kepada masyarakat.
“Program Prihatin Mersing mencerminkan komitmen berterusan kami untuk memperkasa komuniti serta memelihara alam sekitar melalui kerjasama erat bersama rakan strategik. Kami berharap setiap inisiatif yang dilaksanakan akan terus memberi impak positif dan menyokong agenda pembangunan mampan negara,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai Pemegang Amanah Awam tunggal di Malaysia, AmanahRaya komited untuk terus memperkukuh amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) menerusi penyampaian perkhidmatan serta pelaksanaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat yang memberi impak positif kepada masyarakat dan alam sekitar.
AmanahRaya ialah syarikat milik penuh kerajaan yang dahulunya dikenali sebagai Jabatan Pemegang Amanah Raya dan Pegawai Pentadbir Pusaka yang ditubuhkan sejak 1921.
AmanahRaya adalah syarikat Pemegang Amanah utama di Malaysia yang dikorporatkan pada 1995 melalui Akta Perbadanan Amanah Raya 1995.
-- BERNAMA