Am 12/08/2026 09:59 PM

Rukun Negara Kekal Sebagai Kompas Moral Dalam Era Digital

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Rukun Negara Kekal Sebagai Kompas Moral Dalam Era Digital

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Rukun Negara kekal relevan sebagai kompas moral dan panduan kepada golongan belia dalam mendepani cabaran era digital, termasuk dalam penggunaan media sosial serta kebebasan bersuara.

Naib Presiden Kesatuan Kakitangan Akademik Universiti Teknologi MARA (UiTM) (MITASA) dan Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang UiTM Dr Adlan Abdul Razak berkata prinsip Rukun Negara bukan sekadar untuk dihafal, sebaliknya perlu dihayati dan diterjemahkan dalam kehidupan seharian termasuk ketika menerima, menilai serta menyebarkan maklumat di platform digital.

"Penerapan prinsip Rukun Negara juga penting bagi membentuk golongan belia yang mampu menggunakan kebebasan bersuara secara bertanggungjawab tanpa melanggar batas undang-undang atau menyentuh sensitiviti masyarakat berbilang kaum.

"Golongan muda kini semakin memahami ruang yang tersedia untuk mereka menyuarakan pandangan termasuk melalui perhimpunan dan dialog, namun kebebasan berkenaan perlu disertai kesedaran bahawa setiap tindakan dan kenyataan tetap tertakluk kepada undang-undang," katanya pada program Atma Merdeka terbitan Bernama Radio di sini hari ini.

Beliau berkata golongan belia perlu memainkan peranan sebagai penyebar maklumat yang bertanggungjawab dengan membuat semakan terlebih dahulu sebelum berkongsi sesuatu kandungan, khususnya ketika teknologi digital membolehkan audio, video dan kandungan palsu dihasilkan dengan mudah.

Katanya, penghayatan terhadap prinsip Kedaulatan Undang-undang dan Keluhuran Perlembagaan dapat membantu golongan muda menilai kesahihan sesuatu maklumat selain memahami batas yang perlu dihormati ketika menggunakan media sosial.

Mengulas peranan institusi pendidikan, Adlan berkata Fakulti Undang-Undang UiTM melaksanakan usaha meningkatkan kesedaran undang-undang menerusi Klinik Bantuan Guaman serta inisiatif berkaitan kesedaran perundangan.

"Kita latih pelajar untuk tahu tentang undang-undang dan kesedaran perundangan supaya apabila mereka balik ke kampung, mereka dapat sebarkan maklumat tentang undang-undang kepada orang ramai," katanya.

MITASA bersama-sama Bernama akan melaksanakan 20 siri program Atma Merdeka dengan siri pertama memberi tumpuan kepada peranan belia dan penghayatan Rukun Negara sempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.

Adlan berkata kerjasama itu menjadi platform bagi meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya golongan muda untuk memahami makna kemerdekaan serta kepentingan menjiwai semangat kebangsaan.

-- BERNAMA