Dunia 12/08/2026 10:43 PM

Transit Melalui Selat Hormuz Sepatutnya Bebas Yuran Tambahan - Takaichi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Transit Melalui Selat Hormuz Sepatutnya Bebas Yuran Tambahan - Takaichi

TOKYO, 12 Ogos (Bernama-Kyodo) -- Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi pada Rabu menegaskan kepentingan untuk tidak mengenakan yuran bagi transit melalui Selat Hormuz dalam perbualan telefon dengan Presiden Iran Masoud Pezeshkian, ketika laluan perdagangan itu pada hakikatnya ditutup susulan rundingan Amerika Syarikat (AS)-Iran yang menemui jalan buntu, lapor Kyodo News.

Bercakap kepada pemberita di pejabatnya di Tokyo, Takaichi berkata beliau turut menyampaikan "kebimbangan mendalam" kepada Pezeshkian berhubung situasi di Selat Bab el-Mandeb di bahagian bertentangan Semenanjung Arab, selain meminta Iran supaya mendesak kumpulan Houthi di Yaman yang bersekutu dengan Tehran agar menahan diri.

Pihak berkuasa Yaman pada Selasa memaklumkan bahawa Houthi, yang mengisytiharkan "sekatan maritim" pada Julai dengan menyasarkan kapal Arab Saudi, melancarkan serangan terhadap sebuah kapal kargo di selat itu, yang menjadi laluan alternatif bagi pengangkutan minyak mentah ketika Selat Hormuz pada hakikatnya ditutup.

Perbincangan antara Takaichi dan Pezeshkian itu adalah yang pertama sejak Jun dan kali keempat sejak perang AS-Israel terhadap Iran bermula pada akhir Februari. Walaupun merupakan sekutu rapat AS, Jepun secara tradisinya mengekalkan hubungan baik dengan Iran.

-- BERNAMA-KYODO