Am 12/08/2026 09:37 PM

Niaga Hadapan MSM Rendah Akibat Pengambilan Untung, Harga Minyak Sayuran Lemah

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Niaga Hadapan MSM Rendah Akibat Pengambilan Untung, Harga Minyak Sayuran Lemah

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Prestasi niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives rendah pada akhir dagangan hari ini, diasak oleh aktiviti pengambilan untung selain kelemahan harga minyak sayuran yang berkaitan.

Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata aktiviti pengambilan untung itu susulan tindakan peniaga yang mahu memanfaatkan aliran peningkatan harga MSM baru-baru ini.

Pada masa sama, kelemahan harga minyak sayuran turut menjejaskan sentimen pasaran.

“Apabila ini berlaku, minyak sawit menjadi kurang kompetitif apabila peniaga bertindak beralih kepada alternatif yang berharga lebih rendah,” katanya kepada Bernama.

Pada akhir dagangan hari ini, kontrak-kontrak bulan semasa Ogos 2026 turun RM52 kepada RM4,510 satu tan, September 2026 susut RM58 kepada RM4,590 satu tan manakala Oktober 2026 berkurangan RM51 kepada RM4,697 satu tan.

Selain itu, November 2026 berkurangan RM44 kepada RM4,776 satu tan, Disember 2026 susut RM40 kepada RM4,828 satu tan dan Januari 2027 susut RM34 kepada RM4,872 satu tan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 110,756 lot daripada 127,603 lot semalam manakala kepentingan terbuka juga menguncup kepada 319,529 kontrak daripada 320,164 kontrak, sebelum ini.

Harga fizikal MSM bagi Ogos Selatan berkurangan sebanyak RM40 kepada RM4,520 satu tan.

-- BERNAMA