KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh EITA Resources Bhd, EITA Elevator (Malaysia) Sdn Bhd menerima surat anugerah (LoA) daripada Prasarana Malaysia Bhd bagi kontrak kerja bernilai RM62.3 juta untuk menaik taraf lif dan eskalator di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dari Gombak hingga Kelana Jaya, termasuk Depoh Subang bagi Laluan Kelana Jaya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, EITA Resources, penyedia perkhidmatan penyelenggaraan sistem lif, eskalator dan busduct, memaklumkan LoA berkenaan dijangka disiapkan dalam tempoh 48 bulan dari tarikh mula kerja atau pengeluaran notis untuk meneruskan kerja (notice to proceed).
EITA Resources memaklumkan kontrak itu tidak memberi sebarang kesan terhadap modal saham dan/atau pegangan saham syarikat.
Lembaga pengarah juga menjangkakan LoA berkenaan tidak memberi kesan material terhadap pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Sept, 2026.
-- BERNAMA