IPOH, 12 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 32,760 liter diesel dalam serbuan Ops Tiris 4.0 di sebuah jeti perikanan di Hutan Melintang, dekat Bagan Datuk semalam.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata sepasukan pegawai dan anggota KPDN Cawangan Teluk Intan melakukan serbuan berkenaan kira-kira 1.50 tengah hari susulan maklumat risikan selama dua minggu berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan diesel di jeti berkenaan.
"Hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut menerima bekalan diesel bersubsidi nelayan sebanyak 32,760 liter melalui sebuah lori tangki berkapasiti 52 tan.
"Siasatan awal mendapati ketidakpatuhan serius terhadap dokumentasi penghantaran dengan alamat yang tertera pada dokumen delivery order tidak sepadan dengan alamat Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA) diesel yang dimiliki premis tersebut yang juga Pusat Jualan Diesel Bersubsidi Nelayan di Hilir Perak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata semakan lanjut dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak mendapati lori tangki berkenaan tidak dalam senarai yang dibenarkan untuk mengangkut dan membawa diesel bersubsidi nelayan ke Hilir Perak.
Kamalludin berkata pihaknya turut menemukan bukti yang dipercayai penyelewengan rekod penjualan diesel kepada bot nelayan yang layak apabila rekod jualan menunjukkan transaksi kepada sembilan buah bot, namun pemeriksaan fizikal dan semakan mendapati hanya empat buah bot membuat tuntutan bahan api dan selesai mengambil minyak di jeti itu pada tarikh tersebut.
Beliau berkata KPDN turut mengesyaki terdapat kemungkinan diesel berkenaan akan dibawa keluar menggunakan kenderaan darat seperti lori atau dijual semula kepada bot yang tidak layak dengan niat menyeleweng subsidi diesel nelayan.
"Ketika ini harga pasaran diesel industri telah mencecah lebih RM4 seliter," katanya sambil menambah pihaknya mengambil tindakan terhadap pemilik premis dan pembekal kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Kamalludin berkata 32,760 liter diesel, sebuah lori tangki 52 tan dan beberapa dokumen lain yang berkaitan telah disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM599,058 merangkumi nilai diesel RM149,058 dan kenderaan RM450,000.
"Dua individu telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974," katanya.
-- BERNAMA