KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Malaysia perlu mengambil langkah pencegahan segera bagi menghadapi kemungkinan krisis jerebu rentas sempadan susulan kualiti udara tidak sihat yang kembali direkodkan di beberapa kawasan, kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau berkata kemerosotan kualiti udara di beberapa kawasan di Sarawak dan Semenanjung Malaysia perlu dilihat sebagai amaran awal kepada kerajaan untuk mengambil pendekatan proaktif dan bukan sekadar bertindak selepas keadaan menjadi serius.
“Kita sudah berulang kali berdepan masalah ini sebelum ini. Jangan sampai kita sekali lagi tidak bersedia.
“Situasi di Sarawak amat membimbangkan kerana cuaca panas dan kering berpanjangan boleh menyebabkan kebakaran merebak dengan pantas, manakala asap pula boleh bergerak merentasi sempadan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, enam sekolah di Tebedu, Sarawak, diarahkan tutup selepas bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan itu melebihi 200.
Bagi mengurangkan risiko, Lee mengemukakan strategi lima perkara, antaranya mengaktifkan sepenuhnya Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan sebaik sahaja petunjuk awal menunjukkan peningkatan risiko.
Beliau berkata pemantauan terhadap titik panas, kawasan mudah terbakar, arah angin dan kualiti udara juga perlu diperkukuh supaya tindakan dapat diambil sebelum keadaan bertambah buruk.
“Kedua, Malaysia perlu mempergiat kerjasama dengan Indonesia dan negara jiran lain menerusi Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan yang telah diratifikasi semua negara anggota pada 2015.
“Walaupun kerangka kerjasama sudah tersedia, pelaksanaan yang lebih kukuh dan tindakan lebih pantas di lapangan amat diperlukan,” katanya.
Beliau turut menggesa akauntabiliti serantau diperkukuh dengan menganggap jerebu rentas sempadan sebagai krisis kesihatan awam, ekonomi dan sosial yang boleh menyebabkan masalah pernafasan, gangguan persekolahan serta peningkatan kos penjagaan kesihatan.
Lee berkata pihak berkuasa juga tidak boleh mengabaikan punca tempatan seperti pembakaran terbuka secara haram, kebakaran tanah gambut serta aktiviti pembersihan dan pembukaan tanah pertanian yang tidak diurus dengan baik.
Beliau turut menyeru supaya kesiapsiagaan awam dipertingkatkan dengan memastikan sekolah, hospital dan tempat kerja mempunyai prosedur yang jelas, selain maklumat berkaitan kualiti udara disampaikan kepada orang ramai secara tepat dan pada masanya.
“Paling penting, kita perlu mengubah pemikiran. Jerebu tidak lagi boleh dianggap sebagai gangguan bermusim setiap tahun, sebaliknya perlu dilihat sebagai risiko bencana serantau yang berulang dan memerlukan pencegahan, kesiapsiagaan serta kerjasama sepanjang tahun,” katanya.
Lee turut menggesa pihak berkuasa memanfaatkan sepenuhnya sistem amaran awal ASEAN dan bertindak segera berdasarkan petunjuk yang diterima, sambil menegaskan bahawa langkah pencegahan jauh lebih murah berbanding menanggung kesan selepas keadaan bertambah buruk.
-- BERNAMA