JOHOR BAHRU, 11 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor meminta jabatan pendidikan negeri untuk memberikan sokongan sewajarnya terhadap keluarga dan rakan dua kanak-kanak lelaki yang ditemukan lemas di empangan di Taman Scientex, Pasir Gudang di sini, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata langkah itu bagi memastikan kebajikan dan keadaan emosi mereka yang terkesan dengan kejadian itu diberikan perhatian.
Beliau berkata intervensi psikososial melalui Unit Bimbingan dan Kaunseling akan dilaksanakan bagi membantu murid dan warga sekolah yang terkesan menghadapi situasi itu dengan baik.
“Pada masa sama, saya ingin mengingatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa cakna terhadap aktiviti anak, khususnya ketika berada di kawasan berisiko seperti tasik, lombong dan empangan,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Muhammad Naqib berkata Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang akan terus memantau perkembangan dari semasa ke semasa sekolah kanak-kanak lemas itu, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kopok dan SK Kota Puteri 4, Pasir Gudang.
Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi bagi menghormati keluarga mangsa dan memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terperinci.
Semalam, bomba menemukan Mohammad Haikal Ramzi, 12, pada 2.12 pagi manakala Muhammad Adam Faris Arman, 11, selang 21 minit kemudian pada kedalaman kira-kira dua meter di empangan tersebut.
-- BERNAMA